[ad_1]

SANDAKAN: Sejak sekian lama, nelayan di Kampung Sim-Sim di Sandakan terpaksa mengangkat hasil tangkapan seberat ribuan kilogram menggunakan tenaga manusia disebabkan ketiadaan jeti pemunggahan ikan.

Nelayan mendakwa, proses itu amat mencabar dan meletihkan kerana dilakukan secara manual dengan nelayan sendiri mengangkat ikan dari bot naik ke atas jambatan.

Nelayan tempatan, Matnor Abdullah, mendakwa keadaan lebih buruk ketika air surut kerana bot tidak dapat menghampiri jambatan.

“Disebabkan tiada jeti pemunggahan ikan, kami biasanya terpaksa angkat ikan sendiri naik ke jambatan sebelum dibawa ke darat dan dijual kepada pemborong.

“Kalau air surut, bot tak dapat datang dekat jambatan, maka kami terpaksa menunggu sehingga air pasang. Kemudian baru dapat bawa ikan naik.

“Jadi, itulah cabaran nelayan di kampung ini hadapi sejak sekian lama. Kami amat berharap pihak berwajib membina sebuah jeti sekali gus memudahkan proses menaikkan hasil laut,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Katanya, langkah itu dapat merancakkan lagi aktiviti perikanan di kawasan berkenaan, sekali gus menambah hasil tangkapan dan bekalan ikan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul berkata, pihaknya menyedari masalah dihadapi nelayan terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“LKIM sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi membina jeti di kawasan itu yang dianggarkan berjumlah RM200,000 dengan secepat mungkin,” katanya.



[ad_2]
Source link