[ad_1]

KEBELAKANGAN ini, terdapat banyak penekanan yang dibuat mengenai kepentingan untuk mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan (work life balance).

Ia merupakan satu isu yang hangat dikatakan pada hari ini disebabkan oleh peredaran masa telah banyak mengubah bagaimana kita mengendalikan kehidupan yang kian mencabar di samping pekerjaan yang dimiliki.

Sebagai contoh, kira-kira 30 atau 40 tahun dahulu, tidak ramai wanita yang bekerja.

Wanita lazimnya tinggal di rumah dan menguruskan anak serta rumah tangga sepenuh masa.

Kini, zaman telah berubah di mana lebih ramai wanita yang bekerja di samping perlu menguruskan rumah tangga.

Peranan wanita sebagai penyumbang kepada ekonomi keluarga tidak dapat dinafikan.

Bagaimanapun, banyak kajian menunjukkan tiada perbezaan antara jantina dan keperluan untuk mencapai kesimbangan antara kerja dan kehidupan.

Ini bermakna, lelaki juga turut terkesan dengan tuntutan kerja dan kehidupan. 

Bercakap mengenai kehidupan, ia sebenarnya merangkumi banyak perkara termasuklah keluarga, kesihatan, rekreasi, keperluan rohani, perancangan kewangan serta peningkatan diri.

Konsep keseimbangan

Keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan adalah satu konsep di mana seseorang individu itu memberikan keutamaan yang optimum antara kerja dan kehidupan.

Keseimbangan ini berlaku apabila individu memperuntukkan sumber mental, fizikal dan emosi yang terhad dengan cara sesuai untuk mencapai matlamat yang diinginkan.

Keseimbangan kerja dan kehidupan bukan bermaksud masa terbahagi kepada 50 peratus bekerja dan 50 peratus di rumah.

Salah faham beginilah yang sering menjadikan sesorang itu merasa bersalah apabila lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah atau sebaliknya.

Sebenarnya, setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza dan individu itu sendirilah yang tahu bagaimana untuk meletakkan keutamaan dalam hidup supaya keseimbangan itu dapat dicapai.

Keseimbangan itu tidak akan menjadi tetap pada setiap masa kerana kita perlu sentiasa mengubahnya mengikut keperluan.

Ini kerana semua orang akan mempunyai keutamaan yang berbeza pada setiap fasa kehidupan.

Mungkin pada peringkat usia muda dan di awal karier, seseorang itu akan lebih meletakkan keutamaannya pada kerja serta berjaya dalam karier, pada usia pertengahan akan lebih kepada keluarga serta rekreasi dan di hujung usia pula akan memberi keutamaan pada kerohanian.

Keseimbangan yang optimum berubah mengikut masa dan berbeza antara individu.

Tiada satu saiz atau templat untuk semua orang  dalam mendapatkan keseimbangan kerja-kehidupan.

Dr William Gentry, seorang pakar dalam kemahiran kepimpinan dari Centre of Creative Leadership, Amerika Syarikat (AS) berpendapat bahawa tiada siapa pun yang sempurna dalam mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Tetapi, dia mengatakan yang kita sentiasa boleh melakukan yang terbaik dalam setiap situasi sama ada ketika di tempat kerja atau di rumah.

Walaupun kita mungkin tidak dapat menghabiskan masa seperti yang diinginkan, tetapi apabila kita telah cuba lakukan yang terbaik dalam setiap situasi, ia akan mendatangkan perasaan yang harmoni dalam diri.

Ini penting untuk mengelakkan timbulnya rasa bersalah dalam diri serta menimbulkan konflik.

Perlu diingatkan bahawa keseimbangan kerja dan kehidupan bukan sahaja merupakan satu keperluan untuk mereka yang berkeluarga malah kepada mereka yang belum berkahwin atau tiada anak.

Terdapat tanggapan salah di mana ramai berfikir mereka yang berkeluarga lebih wajar mendapat masa tambahan dalam domain kehidupan mereka berbanding yang belum berkahwin.

Ini menyebabkan mereka yang belum berkeluarga sering menjadi mangsa keadaan di tempat kerja di mana mereka dianggap perlu berkorban untuk orang lain.

Bagaimanakah anda mentaksir keseimbangan kerja dan kehidupan?

Antara cara yang boleh digunakan ialah roda kehidupan (wheel of life). Secara asasnya, roda kehidupan terbahagi kepada bahagian atau kategori yang penting untuk anda.

Anda boleh senaraikan apa perkara yang penting dalam kehidupan dan ia tidak semestinya sama dengan orang lain.

Pada contoh roda kehidupan yang tertera kategori yang disenaraikan adalah kerjaya (career), kewangan (finances), perkembangan peribadi (personal growth), perhubungan (relationships), kesihatan (health), keluarga (family), kehidupan sosial (social life) dan sikap (attitude).

Bagaimana untuk skor dalam roda kehidupan?

Markah satu sehingga 10 diletakkan pada skala dalam roda kehidupan.

Markah ini akan membantu anda untuk mengenal pasti kategori manakah dalam kehidupan anda yang telah dapat anda capai dan kategori manakah yang perlu ditingkatkan.

Ia juga dapat membantu anda untuk menilai secara objektif sama ada anda gembira dengan situasi sekarang, adakah anda mahukan perubahan serta apa yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap lebih memuaskan di bahagian-bahagian tersebut.

Simptom-simptom ketidakseimbangan

Bagaimana untuk tahu sekiranya anda mengalami ketidakseimbangan?

Ketidakseimbangan akan menimbulkan konflik dalam diri serta menyebabkan berlakunya stres.

Stres bukan sahaja memberi kesan terhadap kesihatan mental tetapi juga kepada kesihatan fizikal dan tingkah laku.

Ianya bergantung kepada daya tahan, sokongan sosial dan personaliti seseorang.

Antara gejala yang biasanya dialami adalah;

Fizikal: Sakit kepala, ketegangan otot, kelesuan, berdebar-debar, sukar tidur serta perubahan selera makan.

Emosi: Berasa sedih dan resah, sukar menumpukan perhatian, sukar membuat keputusan, hilang minat serta cepat berputus asa.

Tingkah laku: Suka menyendiri, mudah melenting, mencetuskan konflik dalam hubungan peribadi atau kerja serta hilang motivasi.

Jika anda telah mendapati bahawa terdapat ketidakseimbangan antara kerja dan kehidupan, langkah seterusnya adalah untuk mengenal pasti apakah yang menghalang anda daripada mencapai keseimbangan.

Halangan-halangan yang sering didapati ialah;

1. Kekangan masa

Pengurusan masa dan perancangan adalah penting. Sebenarnya yang diperlukan adalah masa yang berkualiti berbanding kuantiti.

Pastikan bahawa masa digunakan dengan sebaiknya. Sebagai contoh, untuk mengoptimakan masa dengan keluarga kita boleh lakukan aktiviti bersama-sama seperti makan serta beriadah bersama.

Elakkan penggunaan gajet berlebihan atau membawa pulang kerja ke rumah. Waktu menghantar anak ke sekolah boleh digunakan untuk bertanyakan perkembangan mereka. Peruntukkan juga masa untuk diri sendiri (self care).

2. Gagal menetapkan batasan

Ramai orang tidak mampu mengatakan tidak apabila diberikan tugasan atau diminta melakukan sesuatu walaupun di luar kemampuannya.

Ini adalah fitrah manusia yang sering ingin cuba memuaskan hati atau menjaga hati orang lain tetapi mengorbankan perasaan sendiri.

Ini menyebabkan sesorang itu mempunyai beban tugas yang banyak dan sukar meluangkan masa untuk perkara-perkara lain.

Kita perlu belajar untuk meninggalkan kerja di tempat kerja bagi membolehkan kita fokus kepada perkara lain apabila pulang ke rumah.

3. Terlalu mengejar kerjaya

Ada orang yang terlalu fokus dalam kerjaya sehingga mengetepikan perkara lain dalam hidup.

Mereka ini mempunyai risiko untuk mendapat tekanan yang tinggi terutamanya apabila kejayaan yang diimpikan tidak dapat dicapai.

Tidak salah untuk fokus pada karier, tetapi perlu sentiasa bersikap realistik dan tahu kemampuan diri.

4. Tidak tahu apa yang dimahukan dalam hidup

Kita perlu tahu apa yang dimahukan dalam hidup ini bagi memudahkan kita membuat perancangan serta menjalani kehiduan dengan seimbang.

Setiap individu mempunyai keinginan serta definisi yang berbeza tentang kebahagiaan dalam hidup.

Contohnya ada yang meletakkan kebahagiaannya pada kerjaya, keluarga atau pun pada pengisian rohani.

Tentukan matlamat hidup untuk jangka pendek serta jangka panjang kerana ini akan memberikan kita panduan tentang apa yang perlu kita lakukan dalam mengejar keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan bukanlah satu konsep yang mudah dan sempurna.

Adakalanya kita perlu mengorbankan sesuatu perkara untuk mencapai sesuatu perkara yang lain.

Untuk itu, kita perlu tahu apa yang kita inginkan dalam hidup dan elakkan dari membandingkan hidup kita dengan orang lain.

Keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan yang ingin dicapai adalah mengikut kehendak dan definisi kita.


* Dr Firdaus Abdul Gani adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI



[ad_2]
Source link