[ad_1]

PELABUHAN KLANG: Kesan akibat wabak COVID-19 dilihat tidak memberi impak negatif kepada pelan ekonomi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ini kerana RMK-12 merupakan rancangan ekonomi jangka panjang malah ketika ini juga kerajaan sedang membuat kajian pelan pemulihan ekonomi yang disasarkan, ia dijadual dibentangkan pada hujung bulan ini.

“RMK-12 adalah pelan ekonomi jangka panjang iaitu lima tahun (2021-2025). Jadi, kesan daripada COVID-19 tidak akan menjejaskan RMK-12.

“Namun, Belanjawan 2021 yang dijangka diumumkan sama ada pada bulan Oktober atau November depan harus mengambil kira faktor ekonomi semasa,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pelabuhan Utara di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai aspek yang diberi fokus dalam penyediaan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan lebih menumpukan kepada usaha untuk memulihkan semula ekonomi negara.

Kesan pandemik COVID-19 menyebabkan kerajaan merancang ekonomi menerusi beberapa fasa, di mana ketika pembentangan Belanjawan 2021 nanti, ekonomi negara sedang melalui fasa ‘dihidupkan semula’.

“Pembentangan Belanjawan 2021 dilihat sebagai fasa kelima yang mana ia adalah tempoh untuk mengaktifkan semula ekonomi. Untuk makluman, fasa pertama adalah fasa menyelesaikan (resolve), iaitu ketika negara memulakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Fasa kedua adalah daya tahan (resilience), di mana kerajaan umumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang memberi fokus kepada rakyat dan sektor ekonomi.

“Fasa ketiga adalah sekarang iaitu masa memulakan semula ekonomi. Ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk melihat kesannya.

“Jadi, perancangan kerajaan pada hujung bulan ini iaitu pengumuman pelan pemulihan ekonomi merupakan fasa keempat yang mana ia merupakan pelan enam bulan bagaimana kita mahu memulihkan semula ekonomi negara,” kata Tengku Zafrul.

Mengulas mengenai unjuran prestasi ekonomi negara tahun ini, beliau berkata kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka lebih rendah seperti diunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu sebanyak -2 peratus hingga -0.5 peratus pada bulan lepas.

Unjuran BNM itu berdasarkan kepada pelaksanaan awal PKP dan disebabkan PKP dilanjutkan lebih daripada dua minggu, prestasi ekonomi negara dijangka turun lebih daripada -2 peratus.

“Untuk tahun ini, semuanya bergantung kepada bagaimana kita tangani pandemik COVID-19. Sektor ekonomi kita juga sudah dibuka secara beransur-ansur dan diharapkan dapat memperbaiki ekonomi negara

“Lebih cepat kita tangani wabak itu, lebih cepat kita dapat membangunkan semula ekonomi negara,” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link