KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam esok bagi membantu siasatan berhubung kes video intim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Huzir Mohamed berkata kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Peguam Negara, Tommy Thomas dan beberapa arahan lanjut telah diterima.

“Polis juga menerima satu laporan analisa video oleh Verden Forensics United Kingdom daripada Lokman. Laporan itu telah dihantar ke Cybersecurity Malaysia untuk diteliti.

“Lokman akan dipanggil semula untuk rakaman percakapan lanjut pada 3 September 2019 (esok),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Tambah Huzir, sejak 11 Jun lepas, PDRM juga telah menjalankan siasatan ke atas beberapa kes termasuk melibatkan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik, Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris dan peniaga, Koon Yew Yin.

Dalam kenyataan sama, Huzir memaklumkan Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo telah dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataannya mempertikaikan kes melibatkan arwah Syed Muhammad Daniel Mohd Syakir.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan atau dan Seksyen 233 AKMM 1998. Papagomo telah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum ini.

“Polis sedang menunggu laporan analisa digital ke atas barang kes dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan serta arahan lanjut,” ujarnya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1.40 petang pada 10 Ogos lalu, Syed Muhammad Danial, 29, maut setelah berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki dalam kemalangan kecil di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan.

Berikutan itu, sepasang suami isteri masing-masing berumur lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an ditahan reman bagi membantu siasatan.





Source link