KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kegiatan kumpulan Raju yang aktif dalam kejadian samun beg berjenama Hermes di sekitar Lembah Klang.

Dalam kejadian terbaharu pada 3 Oktober lalu, lima anggota kumpulan itu melakukan samun ke atas seorang mangsa.

Suspek telah melarikan sebanyak 85 beg tangan mewah jenama popular itu, 10 bentuk cincin emas, seutas rantai berlian, sebuah kenderaan MPV dan barangan lain yang bernilai kira-kira RM7.1 juta.

“Pihak polis terus bertindak (Bahagian D9 Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur) telah bertindak menahan seorang lelaki Cina iaitu pemandu kepada seorang ahli perniagaan.

“Pada 24 Oktober kita telah tangkap dua orang lelaki India yang masing-masing di Negeri Sembilan dan di Sepang, Selangor,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Dalam penangkapan tersebut, pihak polis, kata beliau, menemukan barang-barang yang disamun iaitu 81 daripada 85 beg jenama popular antarabangsa itu.

Turut dirampas, sebuah kereta yang digunakan untuk menyamun, wang tunai berjumlah RM4,000 selain sebuah kenderaan MPV.

Suspek dilaporkan melakukan jenayah itu dengan memasuki ke kawasan perumahan mangsa menggunakan kenderaan jenis dan nombor pendaftaran yang sama.

Tindakan itu menyebabkan pengawal keselamatan di kawasan perumahan di Jalan Duta, di sini membenarkan kenderaan dinaiki anggota kumpulan itu masuk.

Hasil maklumat dan siasatan polis membawa pada penangkapan dua lelaki di Cheras pada 24 Oktober lalu.

Soal siasat kemudiannya membawa pula pada penahanan suspek ketiga dua hari kemudian.

Polis kini giat memburu dua lagi suspek yang masih bebas serta barangan kes lain.





Source link