IPOH: Pihak pendakwaan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang melibatkan anggota Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Keong memohon kepada Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin untuk menjadikan saksi pertama dan kedua kes itu sebagai saksi terlindung.

Hakim Norashima Khalid bagaimanapun, hanya akan membuat keputusan mengenai perkara itu, ketika perbicaraan disambung semula pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
 
“Di bawah seksyen 12, 18 dan 20 memang ada peruntukan ataupun pengecualian diberi untuk saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi ini memberi keterangan, sama ada individually (secara peribadi) ataupun melalui in camera (menerusi kamera).

“Jadi kita hanya membuat permohonan berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika perbicaraan ditangguhkan.

Sementara itu, salah seorang peguam tertuduh, Leong Cheok Keng terpaksa menarik diri daripada kes tersebut kerana berpotensi untuk dipanggil sebagai saksi.

Mahkamah bagaimanapun, menolak permohonan agar tiga wakil dari Kedutaan Indonesia hadir sebagai pemerhati sepanjang perbicaraan berlangsung.

Paul Yong didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.

BACA: Exco Perak Paul Yong mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol

BACA: Tuduhan rogol: Paul Yong buat keputusan untuk bercuti





Source link