KUCHING: Polis hari ini mengesahkan kejadian dua beradik yang didakwa dilarikan menggunakan sebuah van berwarna putih di Kopodims, Jalan FAC, Matang bukan kes culik.

Sebaliknya, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M.M Sree berkata, remaja dan kanak-kanak berkenaan telah lari dari rumah dan laporan yang dibuat kakak mereka sebelum ini adalah laporan palsu.

“Setelah pengadu yang membuat laporan polis itu disoal dengan teliti, dia (didapati) telah membuat laporan palsu dan dua kanak kanak yang berumur 17 tahun dan 10 tahun yang dikatakan telah diculik sebenarnya tidak diculik.

“Kakak kepada kanak-kanak perempuan itu telah membantu mereka melarikan diri,” katanya dalam satu sidang media pada Ahad.

BACA: Polis lancar Ops Tutup kesan kanak-kanak dan remaja perempuan dibawa lari lelaki berrtopeng

Bagaimanapun, katanya kedua-dua beradik itu telah berjaya dijumpai dengan selamat di sebuah rumah kenalan kira kira jam 930 malam.

Menurut beliau, pihaknya terima laporan penculikan dua kanak-kanak membabitkan dua lelaki bertopeng sebelum dilarikan menggunakan sebuah van berwarna putih sekitar jam 5 petang Ahad.

Susulan laporan itu, polis terus mengatur gerak mengesan kenderaan yang dipercayai digunakan suspek.

Dalam pada itu kata Dev Kumar, pengadu mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana membuat laporan palsu.

“Ini bukan satu kes penculikan. Kita pun sekarang sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu kerana membuat laporan palsu di mana telah membimbangkan ibu bapa kepada keluarga dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Jelas Dev Kumar kes itu telah dapat perhatian meluas di seluruh Sarawak dan belum pernah berlaku kes penculikan dengan modus operandi sedemikian di situ.

Bagaimanapun katanya, pihak polis memandang serius sebarang laporan kes jenayah yang dibuat.





Source link