SEREMBAN: Padah menerima suapan RM3,000 sebagai dorongan ‘menggelapkan’ kes curi kambing, tahun lalu, seorang anggota polis berpangkat koperal didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini.

Tertuduh, Shahrul Sufian Mohd Jaini, 33, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Pondok Polis Sungai Kelemah Gemas, Daerah Tampin didapati menerima wang tunai RM3,000 daripada Mohd Azmil Abdul Manaf, 37, yang mana ia ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai anggota polis.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati meminta wang rasuah berkenaan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu berkenaan yang dikatakan bersubahat bersama dua rakan dalam kes mencuri kambing.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di pekan Gemencheh Baru, Tampin sekitar jam 12 tengahari hingga 1 petang, 10 September tahun lepas.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Zainab yahaya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun menangis teresak-esak sambil merayu hukumannya diringankan dengan alasan dia menanggung kedua ibu bapa yang menghidap penyakit kronik.

Tambahnya dua anaknya juga akan memulakan sesi persekolahan pada tahun hadapan selain sempat meminta ampun dan penyesalan kepada mahkamah terhadap kesalahan yang pertama kali dilakukan itu.

Madihah pada penghakimannya kemudian menjatuhi hukuman denda RM5,000 terhadap tertuduh serta lapan bulan penjara sekiranya gagal melunaskan jumlah berkenaan.





Source link