KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memberi peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2020 kepada Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), bagi menggalakkan lebih banyak program pembangunan usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof memaklumkan, peruntukan tambahan itu antara 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan belanjawan pembangunan kementerian bagi tahun depan yang berjumlah RM325.5 juta.

“Saya ada berbincang dengan Perdana Menteri supaya sedikit pindaan untuk melaksanakan program yang telah dirancang dan beliau bersetuju untuk menambah sedikit peruntukan tersebut, tetapi tidak perlulah saya beritahu jumlahnya.

“Peruntukan ini amat bermakna untuk kita salurkan kepada agensi-agensi mengikut merit mereka tersendiri,” kata Mohd Redzuan.

Peruntukan tambahan itu akan disalurkan kepada program-program yang dilihat berpotensi memberi manfaat kepada pembangunan usahawan.

“Sebagai contoh, program Tekun Delivery. Jika ia tidak mempunya dana yang cukup untuk memenuhi permintaan usahawan yang mahu turut sama melibatkan diri, kita akan menambah dana daripada peruntukan tambahan terbabit,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun TEKUN Nasional Ke-20, pada Selasa.

Setakat ini, TEKUN telah membantu 438,178 orang usahawan di seluruh negara dengan jumlah pembiayaan RM5.67 bilion.

Daripada jumlah itu, seramai 200,000 usahawan dari pelbagai sektor perniagaan masih aktif membuat bayaran balik.





Source link