[ad_1]

POKOK SENA: Kerajaan dijangka memerlukan tempoh setahun lagi, sebelum dapat memperkenalkan undang-undang baharu yang membolehkan golongan suri rumah, mencarum dalam skim baharu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata penelitian rapi diperlukan, sebelum undang-undang itu digubal dan dibentangkan ke Parlimen, sekali gus membolehkan golongan yang tidak bekerja itu, mendapat manfaat perlindungan keselamatan sosial.

“Suri rumah ini bukanlah dikategorikan sebagai pekerja, tetapi mereka tetap terdedah dengan risiko kemalangan, contohnya sewaktu menghantar anak ke sekolah dan memasak di rumah.

“Tetapi, kita selesaikan dahulu caruman sukarela i-Suri di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selepas itu kita pergi satu per satu, untuk melindungi suri rumah menerusi Perkeso pula,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada lapan penerima di sini, hari ini.

Okt lalu, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pertubuhan itu sedang merangka skim baharu itu bagi golongan berisiko terlibat kemalangan termasuk suri rumah dan balu.

Sementara itu, Mahfuz berkata setakat ini kementeriannya tidak menerima sebarang permohonan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), bagi membantu menyelesaikan isu penggantungan pendaftaran badan itu, oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Katanya, kementerian menerusi Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan terbuka untuk membantu kongres tersebut mencari penyelesaian.

“Bagaimanapun kita tidak mengambil tanggungjawab untuk ‘penetrate’ mereka, sebab itu hak mereka untuk selesaikan hal dalaman mereka, apa yang kita lakukan adalah memberi nasihat dan menjadi orang tengah, saja,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan JPPM memberi tempoh 30 hari bermula daripada tarikh notis dikeluarkan kepada MTUC, untuk memberi jawapan balas mengapa ia tidak patut dibatalkan.

JPPM dalam kenyataan berkata notis itu dikeluarkan 18 Dis lepas di bawah Seksyen 13 (2) iaitu Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan.

JPPM juga dalam masa yang sama telah mengeluarkan Notis 13 (2A) iaitu Perintah Penggantungan ke atas MTUC, bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar mana-mana aturan pertubuhannya.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link