PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji cadangan penubuhan sebuah badan khas bagi mengawal selia industri seni muzik negara seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk industri perfileman, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada Majlis Townhall Penggiat Seni Bersama Perdana Menteri di sini hari ini, Dr Mahathir berkata, ia bagi menentukan hak dan kepentingan penggiat seni muzik terbela daripada pelbagai isu seperti pembayaran royalti yang tidak setimpal.

“Rupa-rupanya bukan orang politik sahaja ada penyangak, penggiat seni pun ada juga. Saya tak tahu mereka salah guna undang-undang untuk mendapatkan segala royalti bagi diri mereka.

“Ini sudah tentu kerana undang-undang (harta intelek) yang diadakan tidak mencukupi untuk memberi perlindungan kepada penggiat seni, ini kita akan kaji semula berdasarkan pendapat penggiat seni,” katanya.

Pada majlis itu, kumpulan penggiat seni muzik turut menyampaikan memorandum cadangan penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia kepada Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata, bentuk badan itu mestilah ditentukan oleh penggiat seni sendiri supaya kepentingan mereka terdapat dalam bidang kuasa badan yang akan ditubuhkan.

“Ini bukanlah jadi satu masalah bagi kerajaan kerana kita mahu tentukan kekayaan negara dikongsi bersama. Kita perkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama, jadi kalau satu orang dapat berjuta daripada industri seni, tak patut ada yang menyumbang kepada industri tetapi tidak dapat bahagiannya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau sering tertanya-tanya bagaimana seorang penyanyi dapat hidup sempurna dan mendapat pendapatan tinggi sebelum menjadi terkenal dengan ada sebahagiannya terus hidup dalam keadaan kemiskinan.

“Contohnya, (Allahyarham Tan Sri) P. Ramlee. Saya anggap dia adalah seorang genius, dia buat segalanya menulis cerita, lirik, mencipta lagu, main instrumen, buat filem, edit filem. Saya lihat sendiri dia lakukan kerja ini, tapi akhirnya dia meninggal sebagai orang miskin.

“Hari ini lagunya dinyanyikan oleh semua orang tapi dia tak dapat satu sen pun (royalti) sebab dia sudah takda, mungkin keluarga dia dapat saya tak tahu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menekankan agar penggiat seni muzik mempelbagaikan pendapatan mereka sama seperti yang dicadangkan kerajaan kepada golongan pekebun sawit dan getah supaya menanam tanaman lain bagi menambah pendapatan jika harga sawit atau getah jatuh.

Ini kerana pendapatan penyanyi tidak tetap dengan ada antara mereka bergantung kepada jemputan menyanyi daripada pihak lain.

“Kalau kita kekurangan jemputan untuk menyanyi, kita boleh dapat pendapatan daripada perusahaan kecil kita. Ada perusahaan yang jadi jutawan.

“Kalau nak menyanyi sahaja mungkin tak dapat banyak tapi kalau buat tudung kepala cantik-cantik ada yang jadi jutawan. Gabungkan dengan kerja lain yang boleh tolong kita dapat pendapatan lumayan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau percaya jika penyanyi bergantung kepada satu bidang sahaja, mereka akan menghadapi masalah. – BERNAMA





Source link