PETALING JAYA: Kementerian Kewangan menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kerajaan Kelantan sekiranya pihak terlibat gagal membayar gaji kakitangan berikutan permohonan sebanyak RM100 juta telah pun diluluskan kerajaan Persekutuan bulan lepas.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, permohonan pinjaman itu dibuat kerajaan Kelantan bagi tujuan pembayaran gaji kakitangan kerajaan di negeri itu dan telah diluluskan, meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM91.5 juta.

“Ini supaya kakitangan kerajaan tidak ‘dimangsakan’ dan kita terus bagi bantuan supaya mereka tidak ‘dimangsakan’ atas salah pengurusan atau pun tidak efisien,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor di sini hari ini.

Dalam ucapan pembukaan konvensyen, Setiausaha Agung DAP itu turut memberitahu bahawa kerajaan Kelantan tidak mampu mengurus ekonomi dengan baik berikutan terpaksa meminta bantuan kerajaan Persekutuan.

Katanya, walaupun permohonan diluluskan, beliau mendakwa tetap menerima kritikan dan makian, namun menegaskan perkara berkenaan diketepikan bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

Beliau juga tidak menolak, kecaman pihak terlibat sebenarnya bagi menutup kelemahan diri sendiri yang dilihat memainkan sentimen perkauman dan agama.

“Kita bagi pun kena kecam, kena caci maki hamun tetapi inilah tanggungjawab sebagai kerajaan.

“Kalau mereka dapat perintah negara, habislah kita semua. Gaji pun tak mampu bayar, macam mana nak uruskan ekonomi?” katanya.

Mengulas lanjut katanya, rakyat perlu terus menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi merealisasikan Malaysia Baharu.

“Mereka (Pas dan BN) hanya tawarkan untuk satu kaum atau satu agama. Bukan macam Pakatan Harapan, kita jaga semua, bukan satu kelompok atau satu kumpulan. Kita jaga anak Malaysia,” katanya.





Source link