[ad_1]

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka akan mengumumkan keputusan tuntutan Sarawak mendapatkan semula peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen daripada Kerajaan Persekutuan pada September ini.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan negeri telah berbincang mengenai tuntutan itu dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri sudah berbincang dengan kerajaan Pusat dan keputusan hanya akan diumumkan oleh Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) September ini.

“Butirannya saya sudah tahu, tapi saya tidak boleh mendedahkannya sehinggalah Perdana Menteri dan Ketua Menteri sendiri melakukannya,” katanya.

Tambahnya tuntutan itu katanya boleh dicapai jika pecahan kerusi antara Sarawak dan Sabah diperbanyakkan.

“Apa yang kita mahukan ialah kerusi yang kita tuntut ini dipecahkan lagi, begitu juga dengan Sabah. Ini bagi memperbanyakkan lagi keahlian kita (Sarawak) di Dewan Rakyat seperti kerusi asalnya pada tahun 1963 dahulu,” tambahnya.

Terdahulu Abang Johari membuat tuntutan itu bagi mengembalikan kedudukan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat selepas ketiadaan Singapura.

Antara lain ujarnya, jika Sarawak dan Sabah tidak mempunyai atau memiliki kurang daripada satu pertiga kerusi Parlimen, sebarang pindaan perlembagaan akan dilakukan berdasarkan kepentingan Semenanjung yang memiliki dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.

Semasa penubuhan Malaysia pada 1963, Semenanjung menguasai dua pertiga kerusi Parlimen dan satu pertiga diwakili Sarawak dengan 24 kerusi, Sabah 16 kerusi dan Singapura dengan 15 kerusi.

Namun, apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, sebanyak 15 kerusi Parlimen diwakili tidak diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

Ketika ini terdapat 31 Ahli Parlimen dari Sarawak dan 25 Ahli Parlimen dari Sabah di Dewan Rakyat.



[ad_2]
Source link