[ad_1]

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak memperkenalkan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) merupakan satu langkah yang tepat, kata Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

Penasihat PLM, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata setakat ini 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepakat menyatakan sokongan terhadap keputusan itu.

Selain PLM, antara yang menyokong keputusan KPM itu adalah Majlis Perundingan Melayu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Majlis Belia Malaysia, Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, katanya yang merupakan jurucakap NGO itu dalam kenyataan hari ini.

Keputusan KPM untuk tidak memperkenalkan semula PPSMI dinyatakan Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Awang Sariyan yang juga Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata semua kajian menunjukkan bahawa PPSMI tidak berjaya mencapai hasrat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Beliau berkata di sebalik perbelanjaan besar melebihi RM5 bilion, pencapaian PPSMI hanya sekitar tiga peratus dan menyebabkan kemerosotan yang nyata bagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Rata-rata kajian menunjukkan lebih 70 peratus pelajar dan guru tidak menganggap PPSMI sebagai program tepat bagi hasrat peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Pencapaian pelajar negara dalam ujian antarabangsa yang berkaitan dengan Sains dan Matematik seperti PISA (Program Penilaian Pelajar Antarabangsa) dan TIMMS (Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa) merosot dengan ketara sesudah pelaksanaan PPSMI.

“Kesan buruk PPSMI terlihat juga dalam kemerosotan minat pelajar untuk memilih aliran sains sehingga hanya kira-kira 25 peratus sahaja jumlahnya dan masalah itu menimbulkan kesan kepada jumlah pelajar sains dan teknologi di IPT yang juga merosot,” katanya.

BACA: PPSMI tidak akan diperkenalkan semula – Radzi Jidin

Demikian juga Program Dwibahasa (DLP) perlu dinilai semula pelaksanaannya kerana mewujudkan polarisasi dalam kalangan pelajar, iaitu sejumlah pelajar mengikuti Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan sekelompok lagi dalam bahasa Melayu, katanya.

Awang Sariyan berkata penggantian PPSMI dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) telah mula memperlihatkan kesan positif dan tiada keperluan PPSMI untuk dilaksanakan semula.

Selain itu, katanya, pakar bahasa dan pendidikan telah menawarkan penyelesaian dengan meningkatkan penambahbaikan dalam mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri, yang meliputi bidang kurikulum, latihan guru, pedagogi atau kaedah pengajaran dan bahan ajar.

Awang Sariyan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka berkata, institusi bahasa itu telah menubuhkan pasukan diketuai tokoh pendidikan, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron untuk mengemukakan langkah praktis dalam peningkatan pengajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam, untuk dimanfaatkan KPM.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link