[ad_1]

JASIN: Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini mencabar blok pembangkang negeri mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob bagi membuktikan mereka mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew berkata, tindakan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyangkal ‘hakikat’ bahawa Adly Zahari mempunyai sokongan untuk mempertahankan pentadbiran adalah hanya sekadar menghangatkan suhu politik semasa.

“Dia ini cukup kelakar. Kalau kita tidak cukup dan mereka sebaliknya, kenapa tidak pergi kemukakan sahaja SD kepada TYT dan mengatakan sudah cukup bilangan?

“Tidak payah mencabar, semua orang faham niat dia cuma untuk mengkucar-kacirkan dan menakutkan rakyat. Itu tidak baik, kerana waktu ini, apa yang penting kita hendak mententeramkan keadaan dan kestabilan politik kita,” katanya.

Tey berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di sini hari ini.

Adly sebelum ini menegaskan, pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa, sekali gus mengesahkan beliau kekal sebagai Ketua Menteri sehingga kini, meskipun komposisi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berubah susulan tindakan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Langkah itu menjadikan PH dan Barisan Nasional (BN) negeri masing-masing mempunyai 13 kerusi DUN, manakala Bersatu dua kerusi.

BACA: ‘Adly perlu buktikan punya sokongan Adun Melaka’ – Ab Rauf

BACA: Status quo kekal di Melaka, sidang Dun ditangguh – Ketua Menteri 

Ab Rauf pada Khamis menyangkal dakwaan berkenaan dan menggesa Adly mengemukakan bukti beliau mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

Kemelut politik Melaka sekali lagi hangat diperkatakan selepas ADUN Rembia yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis, yang pernah dikaitkan dengan pembentukan ‘kerajaan pintu belakang’ sebelum ini, menyatakan kecewa dengan pentadbiran PH selama 22 bulan di Melaka. 

Tey (tiga kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan MPJ hari ini. Astro AWANI

Sementara itu, Tey yang juga Timbalan Pengerusi PH Melaka, menyangkal dakwaan Muhammad Jailani dan menegaskan rakyat di negeri ini dapat menilai segala usaha yang dibuat PH negeri.

“Kita dah buat macam-macam program kebajikan untuk rakyat, daripada perumahan, pendidikan dan keagamaan. Tanya orang ramai, buatlah tinjauan, pasti mereka akan memuji usaha yang dibuat kerajaan PH Melaka.

“Adly adalah antara pemimpin yang terbaik di Malaysia. Kenapa dia boleh pertikaikan kewibawaan kepemimpinan negeri kita ini?” katanya.



[ad_2]
Source link