KUALA LUMPUR: Semua masjid di negara ini perlu membuka kedai runcit 24 jam bagi menjual produk Muslim sepenuhnya.

Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, ia sekali gus tanda sokongan kepada Kempen Beli Produk Muslim (BMF).

Tegasnya, ia memerlukan komitmen dan penglibatan total umat Islam untuk menjayakannya.

“Kempen BMF merupakan usaha murni dan terbaik bagi meningkatkan penguasaan orang Melayu dan Islam dalam bidang ekonomi yang ketika ini boleh ibaratkan seperti melukut di tepi gantang.

“Mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sehingga 24 Disember lepas, terdapat 6,368 masjid di seluruh negara dan jika semuanya membuka kedai 24 jam menjual produk Muslim sepenuhnya, usaha menjayakan kempen ini pasti berjaya.

“Itu belum lagi melibatkan surau yang mana mengikut statitik Jakim, sehingga 24 Disember lepas, terdapat 18,308 surau di seluruh negara. Oleh sebab itu, ia perlu dimulakan di masjid dan kemudian diteruskan di surau-surau pula,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA: Kempen membeli barangan Muslim tidak salah – Mohd Redzuan

BACA: 

Perniagaan tidak boleh bersifat monopoli

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof sebelum ini berkata, kempen membeli barangan Muslim tidak salah selagi ia tidak memboikot produk lain.

Jelasnya, suhu perkauman yang meningkat akibat kempen tersebut berlaku sejak kebelakangan ini berlaku akibat salah faham terhadap usaha mengalakan pembelian barangan Muslim tanpa menolak produk bukan Muslim.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, fungsi masjid tidak seharusnya dihadkan kepada urusan ibadat semata-mata.

“Pada zaman Rasulullah SAW, masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadat, tetapi juga sebagai pusat pentadbiran, dakwah dan kegiatan ekonomi.

“Jadi, kita menyeru semua pengerusi jawatankuasa masjid di seluruh negara bekerjasama dengan jawatankuasa, imam dan ketua masyarakat untuk melaksanakan penubuhan kedai 24 jam di masjid.

“Kita mahu masjid menjadi platform peningkatan ekonomi masyarakat setempat seterusnya membantu meningkatkan penguasaan orang Islam dalam bidang tersebut,” katanya.

Tambahnya, ramai usahawan dalam kalangan orang Melayu dan Islam yang mengeluarkan produk mereka tidak dapat ke mana kerana masalah pasaran.

“Jadi, kita melihat usaha membuka kedai runcit 24 jam di masjid ini sebagai cara tindak balas dan membantu usahawan Muslim.

“Usaha membuka kedai runcit 24 jam ini adalah fardhu kifayah selain membantu mengimarahkan masjid.

“Apabila orang Islam datang ke kedai runcit di masjid dan pada waktu itu azan berkumandang, mereka tentu akan bersama solat berjemaah dan sekali gus mengimarahkan masjid,” ujarnya.

Katanya lagi, masjid mempunyai potensi dan aset membangunkan ekonomi Muslim dalam skala besar.

“Masjid adalah platform terbaik kerana pada setiap minggu ada perjumpaan besar iaitu solat Jumaat. Jemaah boleh mendapat bekalan harian daripada kedai runcit masjid.

“Masjid adalah nadi masyarakat Islam. Walaupun masjid tidak boleh menyelesaikan semua masalah sosio-ekonomi ummah, namun masjid mesti berperanan mencetuskan penyelesaian kepada masalah ummah,” jelasnya.





Source link