IPOH: Kementerian Sumber Manusia bersedia mengambil alih semula proses kemasukan pekerja asing yang ketika ini dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Menterinya M Kula Segaran berkata pihaknya menyerahkan kepada Kabinet untuk membuat sebarang keputusan berhubung cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Kabinet akan membuat keputusan itu. Ia satu cadangan oleh SPRM. Kita boleh tengok apa yang boleh buat. Terpulang kepada Kabinet untuk mengarahkan saya, mengambil alih, saya ambil alih,” katanya ketika ditemui di Program Penyerahan Mesin Dialisis kepada Pusat Dialisis Bercham di sini, hari ini.

Kula segaran berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada Rabu, yang mencadangkan proses kemasukan pekerja asing yang dikendalikan KDN dikembalikan kepada Kementerian Sumber Manusia.

Latheefa dipetik sebagai berkata, SPRM melihat perlu ada penambahbaikan sistem dalam pengambilan pekerja, kerana Kementerian Sumber Manusia lebih tahu berapa banyak pekerjaan sedia ada untuk pekerja asing.





Source link