[ad_1]

PEKAN: Sebuah keluarga di Tanjung Batu di sini, mendakwa diganggu dengan api misteri yang membakar pelbagai barangan dan perabot rumah mereka, sejak Isnin lalu.

Penghuni rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Sal, 29, berkata kejadian itu berlaku sebelum Subuh, pada waktu petang iaitu semasa hampir memasuki Asar dan pada waktu senja (Maghrib).

“Api itu muncul secara tiba-tiba dan biasanya kami akan tercium bau hangit sebelum ia berlaku. Setakat ini, antara barangan yang musnah ialah wang, kad pengenalan, perabot dan barangan elektrik.

“Awalnya kami seram dan cemas juga namun selepas kerap berlaku, kami lebih tenang dan terus memadamkan api bagi mengelakkan ia merebak,” katanya yang mendakwa turut merakamkan video kejadian itu.

Suri rumah itu mendakwa kejadian itu baru dialami walaupun sudah 10 tahun menetap di rumah tersebut dan untuk keselamatan dua anak berusia empat dan setahun enam bulan, beliau menghantar mereka ke rumah saudara berdekatan setiap malam.

Api itu, juga menyebabkan beliau, suami dan adik lelakinya mengambil keputusan untuk bergilir-gilir berjaga pada waktu malam bagi mengelakkan rumah mereka terbakar.

“Kami akan menyimbah air setiap kali api itu muncul, namun kelihatan api itu seperti sukar untuk dipadamkan,” katanya.

Sal mendakwa mereka juga sudah melaporkan kejadian itu kepada polis dan Jabatan Bomba dan Penyemalat Malaysia (JBPM) sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk mendapatkan nasihat berhubung kejadian itu.

Kejadian seumpamanya pernah dilaporkan Bernama pada September 2017, melibatkan sebuah keluarga di Kampung Penambang, berhampiran Kota Bharu, Kelantan yang mendakwa ‘diekori’ api misteri hingga menyebabkan rumah mereka terbakar.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link