AYER KEROH: Insiden kekecohan pada Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) pagi tadi didakwa suatu ‘usaha terancang’ oleh pihak tertentu.

Tanpa mendedahkan mana-mana pihak yang disyaki, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham berkata, dakwaan itu diperkuat dengan kehadiran sekumpulan pemuda berbaju hitam yang dilihat sengaja melakukan sabotaj dan kekecohan.

“Terdapat juga beberapa video yang tular jelas memperlihatkan bagaimana beberapa pimpinan skuad ini mengasari beberapa perwakilan yang cuba masuk ke Dewan kongres.

“Kita musykil bagaimana boleh ada sekumpulan pemuda berbaju hitam yang tidak berdaftar tanpa tag perwakilan atau pemerhati yang sah dan kita juga difahamman mereka ini bawah umur.

“Tetapi mereka boleh masuk memenuhi dewan kongres sedangkan perwakilan dan pemerhati kita yang sah tidak dibenarkan masuk,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Terdahulu, insiden kekecohan itu tercetus apabila pihak keselamatan cuba menghalang bekas Pengerusi Tetap AMK Mizan Adli Md Noor dari memasuki tempat persidangan.

Mizan Adli kemudian mendakwa ketua sayap parti itu, Akmal Nasir menggunakan gangster untuk menghalang beliau memasuki dewan bagi menyertai Kongres Nasional AMK 2019.

Tambah Hilman, dalam masa sama, beliau mahu seketeriat penganjuran Kongres Nasional Tahunan AMK  yang diterajui oleh Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan skuad keselamatan AMK.

“Skuad keselamatan bukan hanya sekadar menghalang para perwakilan yang sah masuk ke dalam dewan kongres malah ada di kalangan pimpinan AMK,  Exco, ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) juga dari Ibu Pejabat Keadilan sendiri dihalang dan dikasari daripada memasuki dewan kongres,” ujar beliau.

Mengulas kehadiran semula lebih 500 perwakilan AMK pada esok, Hilman menggesa jaminan keselamatan daripada ibu pejabat bagi memastikan keselamatan semua perwakilan.

“Kita harap ada jaminan pihak ibu pejabat untuk seluruh perwakilan dan opemerhati dari seluruh negara untuk hadir kongres nasional esok.

“Kita tidak mahu hadir kongres tetapi akhirnya kita tidak dibenarkan masuk, dipukul dan sebagainya,” tegas Hilman lagi.

BACA: Batal dan adakan semula Kongres AMK – Hilman

BACA: Kongres AMK kecoh, bekas pengerusi tetap dilarang masuk





Source link