KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Presiden berhubung isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau berpendapat kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan telah dipersetujui.

“Kalau dulu Majlis Presiden yang menetapkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Majlis Presiden juga yang akan menetapkan tempoh bila ia diserahkan.

“Perkara ini telah dipersetujui. Tiada orang boleh menafikan bahawa Anwar sebagai PM yang kelapan. Dan itu telah dipersetujui. Cuma masanya belum ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran ‘Kempen KITA’ di Perumahan Awam Seri Perak di sini hari ini.

Pada Jumaat, Dr Mahathir sekali lagi menyatakan pendiriannya untuk melepaskan jawatan sebaik sahaja selesai penganjuran sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 pada November ini.

Sebelum ini juga, beliau telah berkali-kali menyatakan hasrat melepaskan jawatan Perdana Menteri pada satu masa yang sesuai.

Khamis lalu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di pejabat beliau di Putrajaya, sekembalinya dari Port Dickson.





Source link