[ad_1]

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus deras Sungai Bakau di Rawang ditemukan lemas pada Ahad.

Ketua Bomba Daerah Gombak, Samsol Maarif Saibani berkata mangsa Muhd Suhail Fadzli, 11, dijumpai orang awam pada jam 8 pagi kira-kira lima kilometer dari tempat mangsa terjatuh.

“Pencarian hari ketiga telah menemukan mangsa. Kita (bomba) telah mendapat maklumat daripada orang awam yang dalam perjalanan ke ladangnya dan ternampak mangsa terdampar di dalam sungai.

“Orang awam itu kemudian memaklumkan kepada pihak bomba di pusat kawalan operasi sebelum kami (bomba) bergegas ke lokasi bagi mengambil mangsa untuk diserahkan kepada keluarga bagi proses pengecaman sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Samsol berkata seramai 40 anggota pelbagai agensi terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berkenaan yang bermula Jumaat lepas.

Terdahulu, Muhd Suhail dikatakan bersama abangnya bermain di kawasan sungai berkenaan yang terletak berhampiran rumah mereka.

Menurut abang mangsa, dia dan adiknya terjatuh ke dalam sungai itu. Namun, dia berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada rumput berhampiran sebelum naik ke tebing.

Bagaimanapun, mangsa yang berpaut pada rumput lain dihanyutkan oleh arus deras.

Abang mangsa terus meminta bantuan seorang lelaki yang menunggang motosikal yang melalui jalan raya berhampiran lokasi terbabit.



[ad_2]
Source link