KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun retak tulang kaki kiri akibat dilanggar kereta ketika bermain di hadapan rumahnya di Kajang, Selangor, pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, pihaknya menerima laporan dari bapa mangsa sendiri pada Rabu.

“Kejadian berlaku pada 6.28 petang, ketika mangsa sedang bermain dengan anak jiran dan secara tiba-tiba  menaiki basikal meluru ke jalan raya hadapan rumah sebelum dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari sebelah kiri ke kanan.

“Akibat pelanggaran mangsa mengalami kecederaan retak tulang kaki kiri dan telah dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan dan telah dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata pihaknya masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 43 (1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

Polis dalam pada itu turut mengesahkan kes tersebut berkaitan dengan video yang tular di media sosial berdurasi 15 saat memaparkan seorang lelaki sedang membasuh kereta sebelum seorang kanak-kanak membawa basikal meluru ke jalan raya dan dilanggar kereta.





Source link