PETALING JAYA : Kerajaan akan mengkaji semula dakwaan oleh pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan kadar kemiskinan di Malaysia.

Jelas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia bagi mengetahui sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak.

“Kita akan kaji balik apa yang mereka kata untuk mengetahui sama ada ia benar atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal dan Ulang Tahun ke-4 MyPerintis di Damansara pada Khamis.

Malah, jelasnya kerajaan akan mengubah kaedah untuk mengukur tahap kemiskinan susulan dakwaan itu sekiranya perlu.

BACA: Wakil PBB sifatkan peratusan kemiskinan Malaysia tidak realistik

Sebelum ini Pelapor Khas PBB Philip Alston berkata bahawa bahwa kadar rasmi berkenaan kemiskinan di negara ini sebahagian besarnya adalah tidak tepat sama sekali dan tidak menggambarkan realiti sebenar.

Bagaimanapun dakwaan tersebut disangkal oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali yang mengatakan bahawa data yang digunakan kerajaan sebeum ini adalah menggunakan piawaian yang diterima pakai diperingkat antarabangsa berdasarkan Canbera Group Handbook bagi statistik pendapatan isi rumah, edisi kedua dan diterbitkan oleh PBB.

Justeru jelasnya Malaysia kekal memakai angka rasmi miskin tegar pada 0.4 peratus bagi 2016 bersamaan 24,700 isi rumah.

Malah jelas Azmin, garis kemiskinan (PLI) bagi isi rumah juga ditetapkan pada RM980 sebulan bagi satu isi rumah.





Source link