PUTRAJAYA: Kadar Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi penumpang penerbangan antarabangsa yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan lapangan terbang lain kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikurangkan kepada RM50 daripada RM73 bermula 1 Oktober ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata kadar PSC bagi sektor lain di semua lapangan terbang terbabit kekal iaitu RM35 bagi penumpang penerbangan ASEAN dan RM11 untuk penerbangan domestik.

Loke berkata kadar PSC di KLIA juga kekal iaitu RM73 bagi penerbangan antarabangsa, ASEAN (RM35) dan domestik (RM11), memandangkan ia adalah lapangan terbang premium.

“Bagi penumpang-penumpang yang telah membuat pembayaran PSC dan akan membuat penerbangan mulai tarikh (1 Oktober), tuntutan bayaran balik boleh dibuat daripada syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan-lapangan terbang seluruh negara,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

BACA: Salah kenakan PSC yang sama di KLIA, KLIA2 – AirAsia

BACA: AirAsia cabar Mavcom berhubung perkhidmatan di klia2, PSC

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia sebelum ini melancarkan petisyen bagi membantah caj tambahan sebanyak RM23 untuk penumpang yang melakukan perjalanan ke destinasi bukan ASEAN daripada RM50 kepada RM73 seorang.

AirAsia dalam petisyen berkenaan berkata pihaknya membantah caj yang dikenakan berikutan klia2 direka dan dikendalikan sebagai terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) dan penumpang tidak perlu membayar PSC yang sama seperti di terminal KLIA yang lebih lengkap dan mewah.

BACA: MAHB perjelas saman PSC

BACA: AirAsia ‘berperang’ dengan MAHB, kali ini tentang cukai PSC tertunggak

— BERNAMA





Source link