[ad_1]

BUTTERWORTH: Hasrat seorang Jurusolek wanita dari Kepala Batas, Pulau Pinang untuk memulakan perniagaan tidak kesampaian apabila mengalami kerugian RM100,000 selepas menjadi mangsa penipuan.

Mangsa berusia 27 tahun ditipu seorang lelaki berusia 51 tahun yang bertindak sebagai orang tengah yang kononnya dapat membantunya untuk mendapatkan lesen untuk perniagaan pertukaran mata wang asing (money changer).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada Januari 2017 selepas mangsa berkenalan dengan suspek yang kononnya boleh mendapatkan lesen perniagaan dengan cepat.

“Mangsa kemudian bersetuju menggunakan khidmat suspek dan telah diarahkan untuk membuat bayaran deposit sebanyak RM100,000 sebagai wang proses permohonan lesen perniagaan itu” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya telah menyerahkan empat keping cek kepada suspek di kawasan Butterworth.

Walupun telah menyerahkan cek berjumlah RM100,000, namun mangsa masih diminta untuk membuat tambahan bayaran.

“Mangsa tidak setuju dan berasa tertipu dengan lelaki tersebut setelah pelbagai alasan diberi apabila bertanyakan lesen perniagaan itu dan telah menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes itu, kata Noorzainy, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit,” katanya.

Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penipuan seperti ini .

“Orang ramai juga dinasihatkan agar berurusan dengan pihak yang betul dan bukannya menggunakan orang tengah,” kata beliau lagi.



[ad_2]
Source link