[ad_1]

MERSING: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 2,853 orang melibatkan 770 keluarga setakat pukul 8 malam ini berbanding 1,364 mangsa daripada 355 keluarga petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata hujan lebat yang berterusan menyebabkan sebuah lagi daerah di negeri ini iaitu Muar dilanda banjir, menjadikan keseluruhan kawasan yang terjejas meningkat kepada enam daerah.

Katanya mangsa-mangsa ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mana 18 daripadanya di daerah Kluang, 12 di Kota Tinggi, 10 di Mersing, empat di Segamat dan masing-masing sebuah di Muar dan Kulai.

“Daerah Mersing merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 1,007 mangsa membabitkan 277 keluarga diikuti Kota Tinggi dengan 839 daripada 214 keluarga dan Kluang (680 mangsa, 187 keluarga).

“Di Segamat, jumlah mangsa adalah seramai 230 orang daripada 62 keluarga, Kulai (80 mangsa, 25 keluarga) dan Muar (17 mangsa, lima keluarga),” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Tan berkata bencana itu turut mengakibatkan satu lagi laluan iaitu Jalan Kampung Mawai Lama dalam daerah Kota Tinggi ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan berikutan dinaiki air.

Ini menjadikan keseluruhan jalan ditutup di daerah itu ialah empat, termasuk Jalan Batu 18, Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Berkelompok dan Jalan Ladang Bukit Payong yang kesemuanya berhampiran Kampung Tunjuk Laut.

Dua lagi laluan iaitu Jalan Tenggaroh 3 menuju ke Mawai/Kota Tinggi/Sedili serta Jalan Endau Batu 12 ke Rompin di Mersing yang turut ditutup sebelum ini pula bagaimanapun telah dibuka semula untuk semua jenis kenderaan.

Tan berkata pemantauan secara berterusan sedang giat dilakukan di kesemua daerah terjejas oleh pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link