SHAH ALAM: Kejadian gangguan air tidak berjadual yang berlaku di Selangor, terutamanya melibatkan pencemaran sungai masih berada dalam keadaan terkawal kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya, jumlah gangguan air yang berlaku pada tahun ini masih terkawal dan adalah sama dengan tahun-tahun sebelum ini, serta tidak seburuk yang disangka.

“Sebenarnya kejadian gangguan air ini sama seperti tahun-tahun sebelum ini, tetapi mungkin pada tahun ini ia diberi laporan meluas media tempatan, jadi ramai ingat kejadian gangguan pada tahun ini sebagai kerap.

“Walaupun jumlah gangguan ini sedikit, ia tidak bermakna kita boleh culas dalam mentadbir sumber air Selangor,” katanya ketika diminta mengulas penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih akibat pencemaran air pada Sabtu.

Tambah Amirudin lagi, setakat pukul empat petang Ahad, bacaan pencemaran bau yang dicatatkan di Sungai Semenyih berada pada paras satu ton.

“Setakat petang ini nilai pencemaran bau adalah satu ton, ikutkan jumlah ini selamat untuk digunakan dan boleh disalurkan kepada pengguna, tetapi ia akan menimbulkan bau kurang selesa,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap masalah berkenaan dapat diatasi segera dan air dapat disalurkan ke akaun pengguna lewat malam ini.

“Pegawai kita sedang berusaha keras dari semalam untuk mengatasi masalah ini, dan saya harap ia dapat diselesaikan segera,” katanya.

Pada Sabtu, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang berpunca akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembentungan sekitar loji milik IWK itu.

Susulan penutupan itu sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

— BERNAMA





Source link