[ad_1]

BALING: Tradisi memasak ayam di dalam buluh atau lebih dikenali sebagai ayam pansuh yang diamalkan sejak turun-temurun oleh masyarakat Orang Asli Kensiu di Baling tetap diteruskan tahun ini meskipun masih berada dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Tok Batin Suku Kensiu Kg Lubuk Legong, Razali Kulim, amalan tradisi yang dilaksanakan beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri itu bukan sahaja untuk meraikan ketibaan hari raya, bahkan sebagai tanda menzahirkan kesyukuran berjaya mengharungi bulan Ramadan bersama keluarga masing-masing.

Tambahnya, antara kelainan yang ada pada ayam “pansuh” adalah ia menghadirkan bau yang sangat wangi pada sesuatu masakan memandangkan rempah yang digunakan adalah rempah asli yang diamalkan sejak lebih 100 tahun lalu.

Jelas Razali, masyarakat sekitar juga hanya menggunakan hasil hasil hutan yang berada di sekitar tapak rumah mereka untuk menghasilkan menu terbabit.

“Kita buat masakan orang tua-tua kami… dulu tak ada periuk dulu, ada buluh dengan air yang sekitar kampung dan hutan berdekatan, itulah bekas masakan masyarakat Orang Asli.

“Buat ayam buluh, ayam bubuh dalam buluh, kita masak kita bubuh rempah tradisional semua, daun kesum, bunga kantan kita campur, masak dalam buluh ini… haruman dia jadi lain, kalau orang yang pernah makan, harum bau isi ayam memang sedap bagi masyarakat Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, bagi tukang masak, Sudirman Biat, 34, tradisi memasak ayam buluh yang diamalkan dapat menyemai semangat kerjasama dan berganding bahu dalam menjalankan tugas..

Katanya, kerja-kerja menyediakan hidangan ayam buluh itu melibatkan kerjasama banyak pihak iaitu kaum wanita, lelaki dan juga kanak-kanak tidak terlepas dilibatkan sama.

Kerja-kerja memasak dilakukan secara gotong-royong bagi mengurangkan bebanan khususnya kepada tukang masak sepertinya.

Antara tugasan yang dibahagikan ialah lima orang ditugaskan mencari pelbagai jenis ulam di bukit berdekatan manakala buluh pula diambil dari hutan.

Apabila kesemua hasil itu ditemui, segala bahan dan peralatan untuk memasak akan diproses sebelum kerja-kerja memasak diserahkan kepada tiga orang tukang masak.

Selain ayam, masyarakat Orang Asli suku Kensiu turut menggunakan cara sama iaitu menggunakan buluh untuk memasak nasi dan ulaman.

Meskipun memakan masa yang agak lama iaitu sekitar empat hingga lima jam bagi satu jenis masakan, namun kerja keras itu amat berbaloi sebaik melihat juadah berkenaan terhidang dan sedia untuk dijamah.



[ad_2]
Source link