[ad_1]

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengutip hasil bidaan lebih RM3.4 juta bagi siri nombor pendaftaran ALL selama lima hari bermula Khamis lepas sehingga semalam.

Pengarah JPJ Perak Severinus Tukah berkata, ALL 1 menjadi nombor paling mahal dibida melalui pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) itu dengan bidaan tertinggi bernilai RM278,000.

“Bidaan kedua tertinggi merupakan nombor pendaftaran ALL 8 bernilai RM100,000, diikuti ALL 9 yang bernilai RM99,000 dan ALL 117 dengan nilai bidaan sebanyak RM45,000,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 80,327 orang telah mendaftar dalam sistem JPJeBid namun hanya seramai 3,317 orang yang membida bagi siri itu.

Katanya setiap nombor pendaftaran yang berjaya dibida harus didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan manakala baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli orang awam.

JPJ Perak sebelum ini menyasarkan bidaan keseluruhan bagi siri ALL melebihi RM1 juta melalui pelaksanaan kali pertama JPJeBid di negeri ini.

Sebelum ini, siri nombor pendaftaran yang lepas yang dibida secara manual iaitu AKU mengutip RM3.1 juta dan merupakan kutipan tertinggi bagi JPJ Perak.

Selain itu, nilai bidaan dan jualan bagi siri ALA pula merekodkan RM1.6 juta diikuti ALE sebanyak RM1.1 juta.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link