Jemput Astora Jabat luar pengetahuan kerajaan negeri - Exco 1

IPOH: Pihak pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini yang menjemput penulis kontroversi Astora Jabat dalam sebuah program baru-baru ini perlu bertanggungjawab di atas tindakan tersebut.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Asmuni Awi berkata, jemputan itu juga di luar pengetahuan kerajaan negeri.

Tegasnya, sebarang ceramah agama yang dilaksanakan perlu mendapat kebenaran dan diluluskan oleh pihak berwajib.

“Kes ini sudah viral. Tetapi, siapa yang jemput, saya tak tahu. Dia (Astora Jabat) memang orang yang kontroversi, daripada dulu lagi. Dan difahamkan, tauliah pun tiada, pengajian pun tak tamat.

“Ini (jemputan) di luar pengetahuan saya. Saya pun dapat maklumat daripada persatuan akademik di IPTA (IPT awam) itu, mengatakan mereka pun tidak tahu menahu siapa yang menjemput.

“Mungkin pengurusan (yang menjemput). Apabila pengurusan (yang menjemput), Timbalan Naib Canselor kena bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,” katanya.

Asmuni berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIIM), di sini, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian majlis tersebut dengan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Pada Khamis, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menegur tindakan sebuah IPTA yang menjemput penulis kontroversi itu bagi menyampaikan ucapan dalam sebuah program.

Katanya, jemputan itu satu tindakan tidak teliti dan menunjukkan sikap tidak menghormati institusi fatwa yang telah mengeluarkan keputusan terhadap penulisan Astora berkenaan azab kubur.

Menurutnya, menerusi warta kerajaan bertarikh 29 Julai 2004, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang bersidang kali ke 161 pada 17 Disember 2003 bersetuju menolak kepercayaan azab kubur setelah wujud keterangan dari al-Quran dan Sunnah serta ijma ulama.

“Saya difahamkan beliau masih mengutarakan pandangan yang mengelirukan berteraskan logika akal semata-mata dan menyeru kepada pemikiran terbuka di khalayak umum termasuk pelajar yang masih tidak mempunyai asas ilmu kukuh.

“Dengan ini saya menzahirkan kekesalan ke atas pihak-pihak yang menjemput Astora kerana tindakan itu lebih menghasilkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat daripada manfaat ilmu,” kata Harussani dalam satu kenyataan.





Source link