[ad_1]

KEPALA BATAS: Jasad pemuda yang lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua rakannya karam sewaktu mengail udang di Sungai Muda dekat Kepala Batas Pulau Pinang  berjaya ditemukan petang Selasa.

Mayat Muhammad Najmi Mohd Lazim, 22 tahun, dari Kampung Ekor Kucing, Tasek Gelugor ditemui pada jam 2.40 petang tidak jauh dari lokasi kejadian oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, Muhammad Najmi bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan pulang selepas mengail udang di sungai terbabit.

Bagaimanapun, bot fiber yang dinaiki mereka bocor menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh ke dalam sungai.

Dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang manakala mangsa yang tidak tahu berenang hanya berpaut pada bot namun arus kuat menyebabkan dia tenggelam.

Rakan mangsa berusaha menyelamatkan mangsa namun gagal.

Noorzainy berkata siasatan mendapati ketika kejadian ketiga-tiga mangsa tidak memakai jaket keselamatan.



[ad_2]
Source link