KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan tidak panik dan jangan terpengaruh dengan sebarang khabar angin mengenai jangkitan koronavirus di Sabah.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya meminta masyarakat peka serta merujuk isu berkenaan dari pihak yang berwajib bagi mengelak kekeliruan.

Jelasnya, setakat ini, tiada sebarang kes positif koronavirus meskipun semalam, tular mengenai insiden seorang pelancong lelaki warga China dikejarkan ke hospital kerana disyaki dijangkiti wabak itu.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah memperketatkan tahap pengawasan terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan pemantauan menggunakan saringan demam menggunakan pengimbas haba.

“Jumlah saringan demam yang telah dilakukan sejak 5 sehingga 23 Januari 2020 lalu adalah seramai 4,003 penumpang dan kru yang telah menaiki penerbangan terus dari Wuhan, China.

“Sehingga kini, tiada penumpang dan kru yang dikesan demam semasa proses saringan di pintu ketibaan,” katanya.

Terdahulu, seorang pelancong warga China yang disyaki dijangkiti Koronavirus di Sabah semalam disahkan negatif wabak penyakit itu.

BACA: Koronavirus: Sabah tingkatkan pengawasan di KKIA

BACA: KKM siasat kes pelancong China suspek koronavirus di Sabah

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya berkata, perkara itu disahkan menerusi ujian dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Mengulas lanjut, Poon berkata, pihaknya telah memberi taklimat kepada semua agensi di KKIA berhubung koronavirus serta langkah-langkah yang perlu diambil.

Jelasnya, ini termasuk prosedur merujuk penumpang yang sakit atau demam ke Pejabat Kesihatan KKIA untuk tujuan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan ke Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Queen Elizabeth (HQE) atau Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKKS).





Source link