SEJARAH tertulis, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui parti pembangkang dari tahun 1999 sehingga 2013 telah gagal untuk menjatuhkan UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Pada waktu itu. UMNO dan BN tidak tergugat langsung dengan kepimpinan Anwar memimpin pembangkang.

Tetapi, dengan izin Allah SWT, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad bergabung dengan pembangkang, barulah Pakatan Harapan berjaya menumbangkan kerajaan kleptokrasi.

Jadi, tindakan bekas tokoh pemimpin sosialis, Syed Husin Ali, atau mana-mana individu yang mempertikaikan kemampuan Dr Mahathir mentadbir negara harus dipersoalkan.

Perlu diingat, pengalaman Dr Mahathir memerintah negara selama 22 tahun sebelum ini tidak harus diperkecilkan sesiapa.

Kita imbas kembali, siapa yang merosakkan ekonomi negara ketika gawat tahun 1997? Pada waktu itu, semua dasar kewangan yang dicipta Anwar tidak menjadi sehingga indeks bursa saham kita merudum ke paras bawah 300 mata.

Keadaan ekonomi negara pada tahun 1997 berada dalam keadaan cacamarba. Apakah semua lupa dengan sejarah tersebut?

Datuk Abdul Murad Khalid pada masa itu merupakan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), semua cerita sejarah kewangan negara pada tahun berkenaan tersimpan rapi padanya.

Prinsip kerajaan pada tahun 1997 jelas tidak boleh menerima Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tetapi ingatkah rakyat siapa yang menerima jawatan Pengerusi IMF pada waktu itu?

Dr Mahathir berjuang melawan dasar luar negara Amerika Syarikat (AS) yang tidak adil pada negara Palestin, Bosnia, Kosovo serta beberapa lagi negara-negara Islam di seluruh dunia tetapi di mana Anwar berada pada waktu itu?

Bagaimana mungkin masih ada pihak kini yang masih tidak ingat jasa Dr Mahathir selama ini dan mahu mengugut jawatan perdana menteri dilepaskan segera. Ia tindakan yang tidak sopan.

Kalangan ini hanya mahu berebut jawatan sesama rakan dalam PH. Mereka tidak pernah memberi sumbangan langsung tetapi hanya pandai bercakap untuk mendesak Dr Mahathir berundur.

Jangan jadikan insiden hitam tahun 1998 dari berulang kembali.

Dr Mahathir sebenarnya tidak perlu membuang masa melayan kerenah kalangan yang kecewa dalam politik. Malahan, Dr Mahathir kini harus terus bekerja kuat untuk membangunkan semula Malaysia Baharu.

Melayan golongan yang tidak rasional dan emosional seperti Seperti Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid atau sesiapa sahaja dalam politik hanya  membuang masa semata-mata.

Dalam politik, satu kelaziman untuk membuat tohmahan tetapi bolehkah mereka membuktikan segala tuduhan yang dibuat?

Sebelum ini juga ada pemimpin yang menyatakan mempunyai berkotak-kotak bahan bukti salah laku pemimpin-pemimpin politik namun sehingga kini masih gagal mempamerkannya kepada keseluruhan rakyat.

Apa jaminan?

Siapa yang boleh memberi jaminan negara akan berjaya dengan cemerlang seandainya Anwar menjadi Perdana Menteri?

Cakap-cakap kosong seperti yang dilakukan Syed Husin atau mana-mana pihak yang berkiblatkan Anwar boleh menjadi punca atau kemungkinan PH tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak kerana rakyat amat jelik serta mual melihat agenda utama dalam PH hari ini adalah untuk berebut jawatan.

Perlu diingat, dalam mana-mana perjuangan, paling penting adalah keikhlasan dan tanpa jawatan pun, semua pihak boleh membuat pelbagai sumbangan bagi menguatkan PH.

Masa kini, rakyat mahu melihat semua pemimpin dalam PH bersatu hati bergabung tenaga ke arah membina Malaysia Baharu demi menjamin kesejahteraan masa depan bangsa mahupun negara.

Bukan berbalah sesama sendiri untuk berebut jawatan. Mereka yang berbalah ini boleh dianggap tidak matang kerana terlampau sibuk bercakap isu Perdana Menteri kelapan pada saat baru setahun lebih Dr Mahathir menjadi Perdana menteri.

Sekiranya Anwar ikhlas; masa ini dia harus turut menyumbang tenaga membantu Dr Mahathir untuk sama-sama memperbaiki kerosakan negara yang begitu teruk dirosakkan oleh rejim kleptokrasi.

Sebagai persediaan untuk menjawat jawatan Perdana Menteri kelapan, kenapa Anwar tidak kelihatan berganding bahu dengan perdana menteri masa kini tetapi hanya bercakap mengenai jawatan yang diinginkan sahaja?

Paling rasional, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkata, isu peralihan kuasa Perdana Menteri tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana perkara itu telah diputuskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lepas.

Sesungguhnya, Syed Husin atau sesiapa pun perlu melihat komitmen Dr Mahathir untuk memimpin negara sehingga sebelum PRU ke-15 adalah usaha mengembalikan asas kekuatan nasional secara gemilang pada waktu itu.

Bukankah faktor itu juga bakal menjamin PH boleh kekal berkuasa selepas PRU ke-15 kelak?

Bagaimana Dr Mahathir ingin bekerja jika masih ada yang bercakap mengenai perebutan kuasa tanpa sebarang sumbangan kepada pembinaan semula negara?

Hakikatnya, tolong jangan keterlaluan untuk bercakap mengenai jawatan Perdana Menteri kelapan yang belum wujud lagi.

Jangan ulang kesilapan lama yang kemungkinannya boleh mengundang semula sejarah hitam tahun 1998. Sentiasa sedar kepada ketetapan tuhan, kepada hukum qada dan qadar.

Seandainya Allah mengizinkan Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan, maka jadilah pengganti Dr Mahathir tetapi sekiranya tuhan kata ia menjadi hak orang lain seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau sesiapa sahaja, maka terimalah hakikat ini dengan hati yang terbuka.


*  Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah Penyelaras Parlimen Jasin.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





Source link