KUALA LUMPUR: Datuk Lokman Noor Adam diminta tidak menggunakan platform media sosial untuk mengemukakan persoalan yang berat kepada pimpinan UMNO sekali gus mengundang persepsi buruk ahli akar umbi terhadap pucuk pimpinan atasan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail menegaskan, ia seolah-olah langkah Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mencari populariti dengan melibatkan ketidakpercayaan diri sendiri ke atas pucuk pimpinan atasan parti.

Jelasnya, paling penting ahli seharusnya meningkatkan kredibiliti dalam mendapatkan kepercayaan daripada seluruh ahli parti.

“Atas pertuduhan berat Lokman terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kita desak jawatankuasa disiplin parti untuk memanggil dan mendengar tuduhan yang dibuat Lokman sekali gus menjatuhkan hukuman yang setimpal atas pertuduhan yang telah dilakukan.

“Tindakan hukuman yang setimpal ini juga amat perlu sekali dibuat sebagai pengajaran kepada ahli ahli UMNO yang lain, seterusnya menjaga maruah institusi Presiden UMNO daripada diserang lagi dalam parti sendiri yang tidak mengikut lingkungan undang-undang dalam kebebasan bersuara yang diamalkan selama ini di dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

BACA: Gesa tindakan terhadap Lokman Adam berhubung kenyataan hina mahkamah

BACA: Lokman Noor Adam didakwa mengapi-apikan orang awam di laman YouTube

Lokman sebelum ini membuat satu posting Ahmad Zahid yang mempersoalkan kononnya Presiden UMNO itu tunduk kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan niat untuk dilepaskan daripada 87 pertuduhan di Mahkamah.

Jelas Rizam, perbuatan Lokman itu disifatkan perkara serius dan boleh menjatuhkan kredibiliti UMNO sendiri.

“Di saat parti kembali meraih kepercayaan seluruh rakyat Malaysia dan kerajaan PH itu sendiri mengalami kesukaran dalam mentadbir negara adalah menjadi satu kewajipan kita sebagai ahli parti untuk mempunyai kesedaran dalam diri sendiri dalam mempertahankan UMNO,” ujarnya.

Selain Rizam, Pemuda UMNO Kelantan dan Johor turut menggesa parti itu memecat keahlian Lokman dan jawatan yang disandangnya dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata tindakan keras perlu diambil terhadap Lokman berikutan dakwaan yang dibuatnya terhadap Ahmad Zahid.

Sementara Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Md Shah menyifatkan tuduhan Lokman sebagai jahat, melampau dan secara tidak langsung mengaibkan pucuk pimpinan parti.





Source link