Jangan bangkitkan soal perkauman, makanan satukan semua rakyat Malaysia 1

IPOH: “Jangan diperbesarkan hal perkauman ini, dekat sini orang Melayu makan mee goreng ‘aunty’ sana, orang Cina pula letak sambal belacan dah serupa kuah, orang India pula ganti tosai kepada telur goyang,” demikian kata seorang pekerja di sebuah gerai nasi ayam di Medan Selera Dataran Dato’ Sagor di sini.

Beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Natasha, 34, berkata penduduk tempatan pelbagai kaum menjadikan medan selera ini sebagai tempat beramah mesra sambil menikmati bermacam jenis hidangan sarapan dan tengah hari di sini.

Sambil pemberita menikmati nasi lauk pauk di gerai nombor 13, gerai makanan dan minuman Eyna selera utara, Natasha berkata di Malaysia ini, bila menyentuh mengenai makanan, tiada lagi jurang atau ‘cluster’ sesama kaum.

“Kita di Malaysia ini sama sahaja citarasanya tiada yang beza, kari semua orang makan, cuma yang beza makanan atau minuman yang halal atau haram sahaja.

“Tetapi sebabkan citarasa yang sama itulah dapat membentuk satu perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat di Malaysia ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Khamis. 

Medan selera yang terletak di Jalan Dato’ Sagor di sini merupakan antara destinasi makanan yang cukup popular dalam kalangan penduduk setempat di bandaraya Ipoh ini selain ‘Nasi Ganja’ di Restoran Yong Suan dan Restoran New Hollywood di Taman Canning, di sini.

Medan selera yang buka pada setiap Isnin hingga Jumaat itu beroperasi seawal pukul 6.00 pagi hingga pukul 6.00 petang akan dipenuhi pengunjung yang ingin menikmati mee kicap, roti goyang, nasi lemak, nasi ayam, tosai dan minuman kopi cham.

Sementara itu, bagi Ong Chee Hong, 35, yang sudah bekerja berbelas tahun di gerai Ah Ying Roti Goyang dan Minuman milik ibu ayahnya itu berkata dia menganggap semua yang bekerja di gerai-gerai makan di medan selera ini seperti adik beradik.

“Saya seronok kerja di sini selain dapat membantu ibu bapa, saya ada ramai kawan dan ada saya dah anggap seperti adik beradik.

“Tetapi dia tiada di sini hari ini. Apa yang boleh saya katakan semua (India, Cina, Melayu) boleh bergaul dengan rapat,” katanya.

Di gerai nombor 20 itu, pelbagai hidangan seperti roti goyang, roti telur dan roti kaya telah dibuka di medan selera berkenaan sejak zaman atuk neneknya pada tahun 70-an lagi.

Bagi seorang peguam, Awtar Singh, 58, yang menggemari roti goyang dan nasi lemak berkata, dia selalu berkunjung ke gerai makan di sini bersama pekerja-pekerjanya.

Beliau yang mempunyai tiga orang pekerja Melayu dan seorang pekerja India menyatakan dia menganggap duduk semeja makan bersama dengan pekerja itu sudah menjadi rutin hariannya.

“Jangan terpengaruh dengan isu-isu perkauman yang sengaja dibangkitkan ini. Yang penting kita lihat sendiri bagaimana semua rakyat contoh di kedai makan ini duduk bersembang, gelak ketawa makan bersama.

“Lagi satu perkara yang paling penting adalah hormati antara satu sama lain. Tidak rugi apa. Saya dulu kawan-kawan India, Melayu dan Cina, biasalah gaduh-gaduh ‘mesra’ tak sampai berapa jam pun lepas itu baik balik,” katanya.

— BERNAMA





Source link