[ad_1]

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul [email protected] dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu berkuat kuasa hari ini, umum Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Wan Ahmad Dahlan, 54, menggantikan Datuk Jamil Rakon yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga berkuat kuasa hari ini, katanya.

Mohd Zuki berkata Wan Ahmad Dahlan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengkuatkuasaan, keselamatan dan perkhidmatan awam serta pernah berkhidmat sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh Wan Ahmad Dahlan mampu menggalas amanah mendokong misi dan visi KDN dalam memastikan keselamatan dan keamanan dalam negara terjamin dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Dahlan, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 25 tahun dengan jawatan pertamanya sebagai penolong setiausaha di Kementerian Pengangkutan.

Dalam kenyataan berasingan mengenai pelantikan Jamil, Mohd Zuki berkata beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan organisasi.

“Semoga dengan pelantikan ini, beliau dapat melahirkan modal insan graduan yang sedia memenuhi keperluan industri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing,” kata Mohd Zuki.

Jamil, 58, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dengan jawatan pertama sebagai penolong setiausaha di Kementerian Pertahanan pada 1 Disember 1992.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link