KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menghentikan hubungan diplomatik dengan China selepas pelbagai isu penindasan terhadap etnik Uighur di negara itu.

Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Abdul Hakim Othman menegaskan, ia termasuk perdagangan serta memanggil kembali duta Malaysia yang berada di negara berkenaan.

“Kita menghantar memorandum peringatan kepada Perdana Menteri supaya dapat berbuat sesuatu mengenai isu ini.

“Kerajaan sekurang-kurangnya perlu membuat komitmen untuk menghentikan semua hubungan diplomatik, termasuk perdagangan dengan kerajaan mereka dan mengeluarkan duta mereka di sini serta memanggil kembali duta kita di sana. Ini komitmen politik yang harus dibuat perdana menteri.

“Kita buat tekanan kepada kerajaan untuk ambil tindakan. Dari perhimpunan ini kita hantar mesej, walaupun kerajaan China tidak berbuat apa-apa, tetapi kita tidak akan berdiam diri dengan undang-undang yang dikenakan kepada saudara kita di sana,” katanya.

Abdul Hakim berkata demikian semasa sidang media selepas Himpunan aman membantah penindasan China Terhadap etnik Uyghur dan serahan memorandum teguran tegas kepada Kerajaan China di Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia, di sini selepas solat Jumaat.

BACA: Siaran Arsenal di China ditarik susulan komen Ozil

BACA: 

Tindas umat Islam Uighur – Amerika undi sekat China

Turut bersama di dalam perhimpunan tersebut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan beberapa pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Memorandum dihantar di hadapan pintu Kedutaan China namun tidak diterima sesiapa.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam jawapan bertulis Parlimen mengulang pendiriannya untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman China walaupun terdapat gesaan supaya Putrajaya menjadi pengantara antara China dan etnik Uyghur di wilayah Xinjiang.

Bagaimanapun,  Dr Mahathir mengakui, kewujudan penindasan terhadap kumpulan minoriti Islam di Xinjiang.

Sebelum ini Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan China di Malaysia berhubung isu penindasan terhadap etnik Uighur di negara itu.

Namun, Presidennya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, pihaknya kesal kerana kedutaan itu menolak memorandum berkenaan.





Source link