[ad_1]

PUTRAJAYA: Kerajaan menafikan terdapat unsur berat sebelah dalam melaksanakan tindakan undang-undang ke atas mereka yang ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sedar rasa tidak puas hati segelintir rakyat, lebih-lebih lagi berhubung denda RM1,000 yang dikenakan terhadap seorang timbalan menteri dan exco kerajaan negeri.

Namun, Ahli Parlimen Bera itu menjelaskan, perkara yang membezakan jenis hukuman bergantung kepada jenis pertuduhan yang dikenakan ke atas individu terbabit.

“Saya dah sebut, bahawa wakil rakyat merupakan individu yang dibenarkan untuk bertugas sewaktu PKP. Mereka perlu menjaga kepentingan rakyat di bawah. Tentu kena bebas untuk bergerak, untuk berikan bantuan kebajikan kepada rakyat.

“Mungkin disebabkan melanggar SOP, maka tindakan dikenakan… tetapi pertuduhan itu di bawah Akta 342 (Kanun Keseksaan) sahaja, dan hukumannya RM1,000 sahaja maksimum dari segi denda,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik, Perak kerana ingkar PKP.

Selain itu, 13 individu lain yang hadir bersama-sama mereka dalam jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong turut didenda jumlah yang sama.

BACA:  Ingkar PKP: Timbalan Menteri, Exco Perak didenda RM1,000 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ada juga pertuduhan dikenakan telah menyebabkan seseorang tertuduh dikenakan hukuman yang lebih berat seperti penjara.

“Sebagai contoh, ada yang ditangkap kerana menghalang tugas penjawat awam, ada melawan ketika ditahan, bergaduh dengan polis dan sebagainya… ini menghalang penjawat awam. Ada yang langgar sekatan jalan raya, sampai anggota polis tu patah kaki kerana dilanggar.

“Yang dipenjara bukan hanya kesalahan PKP, bukan hanya langgar SOP, tapi ada kesalahan lain yang melibatkan Kanun Keseksaan… sebab itu hukuman berbeza. Bukan kerana ada dua darjat,” katanya lagi.



[ad_2]
Source link