[ad_1]

FRANKFURT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut digilis kereta api sementara ibunya cedera apabila seorang lelaki menolak mereka ke landasan dalam kejadian di sebuah stesen kereta api di Frankfurt, Jerman hari ini.

Suspek, seorang lelaki berusia 40 tahun berketurunan Afrika, pada awalnya melarikan diri namun berjaya ditahan pihak polis dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Susulan insiden terbabit, wanita berkenaan menerima rawatan di sebuah hospital namun anak lelakinya maut digilis kereta api yang bergerak laju.

Polis memaklumkan pihaknya kini membuka siasatan pembunuhan dan suspek disoal siasat berhubung motif.

“Kanak-kanak terbabit dan ibunya ditolak di hadapan sebuah kereta api yang sedang bergerak laju menuju ke stesen. Si ibu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri,” kata seorang jurucakap polis.

Sementara itu, saluran berita NTV melaporkan, suspek merupakan seorang warga Eritrea.

Satu serangan serupa berlaku 10 hari sebelum itu apabila seorang wanita berusia 34 tahun maut selepas ditolak di hadapan sebuah kereta api oleh seorang lelaki di Voerde, berhampiran Duisburg. – AFP



[ad_2]
Source link