[ad_1]

KUALA LUMPUR: Penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan persendirian yang diwajibkan bermula hari ini (1 Januari), mendapat reaksi positif daripada ibu-bapa, kerana kepentingannya dari segi keselamatan anak-anak.

Namun, mereka turut berharap kerajaan dapat memperkenalkan insentif tertentu bagi pembelian kerusi berkenaan, selain mengawal harga supaya tidak membebankan pengguna, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Seorang pekerja swasta, Mohd Afif Zahri, 30, dari Jitra, Kedah berkata beliau telah menggunakan CRS sejak 2015, dan ia mampu mendisiplinkan anaknya daripada mengganggu pemanduannya.

“Saya mengajar anak menggunakan kerusi ini sejak umur setahun lebih, apabila nak keluar pagi tadi ke tadika, tanpa disuruh anak saya sudah duduk di kerusi ini kerana sudah terbiasa dari kecil,” katanya ketika ditemui Bernama, pada Rabu.

Bapa kepada dua orang anak, Zabidi Zolkefli, 34, dari Kangar, Perlis berkata beliau membeli CRS sejak tiga tahun lepas dengan harga RM200, bagi kegunaan anak pertamanya yang kini berusia enam tahun.

“Bagi saya apa yang penting adalah keselamatan anak, duit boleh cari walaupun pendapatan saya tidak seberapa, lagipun ia boleh digunakan oleh anak lain selepas ini,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan memperkenalkan subsidi kepada ibu bapa yang mempunyai anak ramai, memandangkan harga sebuah kerusi CRS adalah dalam lingkungan RM200 hingga RM600.

Ibu kepada tiga cahaya mata, Zurina Abdul Karim, 30, meminta kerajaan mengawal harga kerusi tersebut, memandangkan bukan semua ibu bapa berkemampuan untuk memilikinya.

“Dengan keadaan kos sara hidup yang tinggi pada masa sekarang, ibu bapa yang kurang berkemampuan seperti saya, terpaksa mendahulukan duit perbelanjaan kepada perkara lebih mendesak, seperti susu anak, persekolahan dan kesihatan,” katanya.

Mohd Firdaus Shaari, 37, dari Shah Alam, Selangor, pula berharap kerajaan dapat memberi sedikit pelepasan kepada keluarga yang mempunyai anak ramai sepertinya.

“Saya harap kerajaan longgarkan sedikit syarat kerusi keselamatan ini, bagi mereka yang hanya ada kereta sedan seperti saya, kita perlu tukar kepada kereta pelbagai guna tujuh tempat duduk jika hendak guna tiga kerusi keselamatan kanak-kanak,” kata bapa kepada empat anak berusia dua hingga 11 tahun itu.

Dalam pada itu, seorang kakitangan kerajaan Nik Nur Aishah Nik Zakaria, 36, dari Kuala Terengganu mengambil pendekatan membeli CRS ketika jualan murah, bagi kegunaan bayi perempuannya yang berusia lapan bulan, Wan Nur Alia Farhana Wan Haiza Azuan.

“Saya membeli CRS melalui dalam talian ketika jualan murah dengan harga hanya RM180. Sekiranya tiada jualan murah, harga boleh mencecah RM300,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian, yang diwajibkan bermula hari ini bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak, daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Langkah baharu itu susulan statistik membimbangkan, iaitu 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

Bagaimanapun, tiada saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS, dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan, yang bersifat mendidik terlebih dahulu.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link