[ad_1]

SEREMBAN: Tiada apa yang lebih membanggakan bagi seorang ibu apabila melihat anak yang berusia sembilan tahun sudah mampu menyumbang jasa kepada negara dengan menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) buat petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19.

Hasnah Hud, 38, ibu kepada Nur Afia Qistina Zamzuri berkata meskipun tidak begitu faham mengenai COVID-19, namun anaknya itu mengetahui bahawa PPE merupakan pakaian penting petugas barisan hadapan dan disebabkan itu dia secara sukarela menyuarakan hasrat untuk membantu menjahit PPE walaupun tiada upah.

“Pada mulanya saya tunjuk gambar seorang kakitangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah yang sedang memotong bahan PPE, Afia tanya ia untuk apa kemudian saya jelaskan pada dia yang gaun ini untuk dipakai oleh jururawat, doktor untuk rawat pesakit COVID-19.

“Saya bagi tahu Afia di HTAN ia tidak cukup dan saya mahu bantu untuk jahit, Afia kemudiannya bagi tahu dia juga mahu bantu kerana ketika ini dia tidak bersekolah dan tiada apa yang boleh dilakukannya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan kisah Nur Afia yang menyumbang bakti menghasilkan PPE meskipun baru berusia sembilan tahun.

BACA: Normal baharu: Tukang jahit cilik siapkan PPE untuk petugas barisan hadapan 

Kisah Nur Afia semalam turut mendapat perhatian Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam ucapannya semasa membentangkan Laporan Kelima Pencapaian Prihatin-Laksana dan beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Nur Afia.

Mengulas lanjut, Hasnah berkata, beliau juga teruja melihat kecekapan anak sulungnya itu dalam mempelajari cara membuat gaun PPE dengan hanya mengambil masa sehari untuk memahami langkah demi langkah menyiapkan kemudahan itu tambahan pula sejak usia Afia lima tahun dia sudah pandai menjahit.

“Pada mulanya saya ajar dia cara potong, cara jahit dan dia memang tekun catat nota rujukan sendiri, lebih kurang dua helai gaun PPE saya siapkan, dia sudah dapat tangkap. Mula-mula Afia ambil masa satu jam setengah untuk hasilkan sehelai gaun PPE, kini dia sudah mampu siapkan dalam masa setengah jam dan boleh hasilkan empat hingga lima helai PPE sehari.

“Afia juga sudah berdaftar sebagai sukarelawan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah, sebagai ibu, saya memang bangga dengan apa yang dilakukan Afia untuk mengisi masa lapangnya, tambah membanggakan apabila usaha Afia ini turut mendapat perhatian Menteri Kewangan,” katanya.

BACA: Petugas barisan hadapan Sarawak terima bekalan PPE tambahan dari China 

BACA: 59 juta unit PPE diperlukan sebulan

BACA: COVID-19: KKM masih perlukan sumbangan PPE 

Hasnah berkata selain menjahit PPE, beliau juga ada mengambil tempahan baju raya dan tugasnya menjadi lebih mudah apabila ada anak yang membantunya untuk menghasilkan PPE ketika beliau menjahit tempahan baju raya pelanggan.

“Afia tidak menjahit setiap hari, ada hari-hari tertentu yang saya bagi dia jahit PPE, jadi masa dia jahit PPE, saya akan siapkan tempahan baju raya pelanggan. Walaupun saya biarkan dia buat sendiri PPE ini, tetapi saya tetap pantau untuk pastikan hasil yang baik dan sempurna,” katanya.

Hasnah berkata dua lagi adik Nur Afia masing-masing berusia empat dan dua tahun turut membantu dalam proses menghasilkan PPE mengikut keupayaan mereka.

“Adik Afia, Nur Ariana Qistina berusia empat tahun dan yang bongsu Zyrill Isyraff berusia dua tahun masing-masing ada tugas juga. Ariana akan bantu potong lebihan benang jahitan manakala Zyrill akan bantu mengisi getah ke dalam bekas bagi memudahkan Afia untuk mengambilnya… suami pula Zamzuri Shaharin, 50, akan bantu melipat PPE yang sudah siap

“Setakat ini, 160 helai gaun PPE telah berjaya disiapkan dan ada lagi 90 helai gaun PPE yang perlu dihasilkan,” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link