[ad_1]

JIKA anda pernah menonton filem aksi “Gemini Man” baru-baru ini, pastinya konsep yang ditonjolkan agak asing dan mungkin tidak tercapai dek akal.  

Dalam filem itu, Will Smith memegang watak pembunuh upahan berusia 51 tahun yang sudah bersara.

Namun dia tiba-tiba menjadi sasaran bunuh lelaki yang begitu arif dengan setiap gerak langkahnya.

Apa yang mengejutkan ialah lelaki itu rupa-rupanya klon dirinya sendiri yang dihasilkan tanpa pengetahuannya dalam usaha melahirkan replika pembunuh upahan hebat bagi memastikan kepakarannya dapat terus dimanfaatkan.          

Jika anda rasa pengklonan makhluk hidup sekadar filem dan tidak mungkin diaplikasikan dalam dunia nyata, anda silap.

Baru-baru ini, Polis Beijing menerima enam anjing klon dalam usaha pihak berkuasa itu memanfaatkan kehebatan baka anjing polis terdahulu dalam generasi baharu unit K-9 jabatan itu.

Dalam satu upacara pada Rabu, keenam-enam anjing klon itu dipakaikan lencana, kolar dan uniform bagi menandakan kemasukannya sebagai sebahagian anggota penguat kuasa, lapor China Daily.    

Usaha mengklonkan anjing berkenaan dibuat pihak berkuasa menggunakan sampel kulit daripada dua ekor anjing.

Hasilnya, enam anak anjing klon itu dilahirkan pada Ogos lalu di mana empat daripadanya dihasilkan daripada kelompok sama dengan ketepatan DNA lebih 99 peratus berbanding anjing asal.

Menurut jurulatih anjing Ma Jinlei, anjing-anjing klon itu menunjukkan kemampuan sepertimana anjing polis berusia enam bulan yang tidak diklonkan daripada segi ingatan, keberanian dan keagresifan.

Pihak berkuasa China memilih langkah pengklonan bagi mengurangkan tempoh latihan dan kos memelihara serta menjaga anjing polis yang mencecah 75,000 (kira-kira RM313,000) seekor bagi tempoh lima tahun.

Anjing polis klon pertama di China yang bernama Kunxun dihasilkan daripada anjing penghidu berusia tujuh tahun bernama Huahuangma yang terkenal kerana sumbangannya dalam siasatan kes pembunuhan.



[ad_2]
Source link