SRI AMAN: Hospital Sri Aman yang sebelum ini dilabelkan sebagai antara ‘projek sakit’ di Sarawak, akan dijadikan hospital utama bagi memenuhi keperluan penduduk dan kawasan sekitarnya, selepas ia mula beroperasi, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Dr Lee berkata hospital yang menelan belanja RM175.27 juta itu kini sudah 82.5 peratus siap, dan dijangka dapat beroperasi pertengahan tahun hadapan, selepas tempoh percubaan selama enam bulan dilakukan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kedatangan saya ini juga adalah untuk mengenal pasti punca kelewatan dan untuk mencari penyelesaian, supaya kita mahu pastikan projek ini berjalan seperti yang dirancang.

“Kita juga merancang supaya Hospital Sri Aman ini dapat membekalkan perkhidmatan beberapa kepakaran untuk kawasan ini dan menjadi ‘lead hospital’ untuk kawasan sekitarnya,” katanya pada sidang media, selepas melawat tapak Klinik Kesihatan Lubok Antu pada Selasa.

Sebelum ini projek hospital itu diklasifikasikan sebagai antara enam ‘projek sakit’ di Sarawak, berikutan kelewatan kerja-kerja pembinaan sehingga gagal disiapkan mengikut jadual.

Sementara itu, Dr Lee berkata Klinik Kesihatan Lubok Antu yang dijangka siap hujung tahun depan akan mempunyai empat blok kuarters, untuk kemudahan kakitangannya.

Untuk rekod, bagi kemudahan penduduk di negeri ini KKM telah membina klinik kesihatan di beberapa kawasan iaitu jenis 2 di Miri dan Tabuan Jaya, manakala jenis biasa di Serian, Siburan, Nangga Kemalih, Long Nampir dan Simpang Bukut.





Source link