BAGI mereka yang lahir sekitar tahun 90-an, semestinya anda pernah menonton drama sitcom bersiri terbitan Disney, Lizzie McGuire.

Merupakan salah satu drama hits terbesar Disney Channel, Lizzie McGuire bakal kembali menemui anda.

Perkara itu diumumkan Disney di Karnival Disney+ D23 Ekspo.

Difahamkan, Hilary Duff sudah bersedia untuk melakonkan kembali wataknya dalam siri sekuel itu dan naskah skrip itu juga bakal ditulis oleh penulis asal, Terri Minsky.

Ia merupakan projek terbaharu Minsky bersama-sama syarikat penerbitan Disney Channel.

Terdahulu, siri “Lizzie McGuire” telah bersiaran selama dua musim di Saluran Disney dari tahun 2001 hingga 2004.

Ia mengisahkan tentang kehidupan remaja berusia 13 tahun yang menempuhi pelbagai situasi dan cabaran sebagai seorang pelajar sekolah menengah.

Namun, menurut Hilary Duff yang merupakan pelakon utamanya, kini watak itu semakin dewasa dan jalan cerita serta cabaran yang dilalui Lizzie juga semakin mencabar.

“Lizzie sudah dewasa. Dia lebih berusia, lebih bijak. Dia nampaknya mempunyai duit belanja yang jauh lebih banyak untuk membeli kasut.

“Dia juga kini mempunyai pekerjaan impiannya, kehidupan yang sempurna serta menjadi anak didik kepada penghias di bandar New York yang serba mewah,” kata Hilary Duff ketika ditemubual di acara Disney+ D23 di Anaheim.

Drama tersebut telah membantunya mencipta nama sebagai pelakon popular sekitar tahun 2000.

Tambahnya, Lizzie juga kini mempunyai teman lelaki yang memiliki sebuah restoran mewah dan Lizzie juga sedang bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30.

Siri asal drama itu dibintangi Lalaine, Adam Lamberg, Jake Thomas, Hallie Todd dan Robert Carradine.

Bagaimanapun, watak rakan-rakan karib serta ahli keluarga Lizzie belum disahkan akan membuat kemunculan semula.

Ia diterbitkan oleh Stan Rogow Productions dan Disney Channel Original Productions dan disiarkan oleh Buena Vista Television.

Pada 2003, Lizzie McGuire turut mempunyai filem bertajuk “The Lizzy McGuire Movie,” yang berjaya mengutip lebih AS$55 juta serta pecah panggung disebabkan fenomena siri itu sendiri.





Source link