MELAKA: Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bersetuju menetapkan hukum sebagai ‘harus’ untuk mengunakan kutipan umum tabung khairat masjid, bagi membantu anak kariah yang memerlukan, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Abdul Halim Tawil menerusi kenyataan berkata, ketetapan itu dibuat melalui perbincangan jawatankuasa itu berhubung PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April, bagi menangani wabak COVID-19.

“Harus bagi masjid-masjid di Melaka, mengeluarkan sebahagian daripada kutipan umum tabung berkenaan, untuk digunakan membantu anak kariah yang menghadapi kesempitan hidup, dalam keadaan sekarang.

“Dengan syarat kutipan itu bukan daripada tabung yang telah dikhaskan seperti wakaf masjid, pembinaan masjid, anak yatim dan sebagainya. Sumbangan yang dikeluarkan tertakluk kepada kemampuan masjid,” katanya.

Sementara itu Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali dalam kenyataan berkata, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam mesyuarat khas COVID-19 semalam, meluluskan Bantuan Tambahan Kecemasan (Makanan) sebanyak RM100,000, bagi pemohon bukan kategori asnaf tetapi dalam kategori B40.

“Dengan peruntukan tambahan ini, jumlah keseluruhan yang diperuntukkan oleh MAIM, bagi mengurangkan beban golongan sasar itu berjumlah RM150,000.

“MAIM juga telah membuka Bilik Gerakan COVID-19 sejak 20 Mac dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh merujuk laman web rasmi dan Facebook rasmi,” katanya.

— BERNAMA




Source link