KUALA LUMPUR: Ribuan penyokong Malaysia dan Thailand hari ini membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan keempat kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Bagi skuad Harimau Malaya, pastinya pertembungan pada malam ini berdepan sedikit kesukaran kerana perlu menghadapi pasukan di ranking ke-109 dunia.

Bagaimanapun, pastinya aksi mantap daripada anak buah Tan Cheng Hoe itu tidak boleh dipandang rendah.

Penyokong Malaysia, Remy El Fateh, 30, berkata kemenangan Harimau Malaya ke atas Tajiskitan baru-baru ini membuktikan pasukan negara mempunyai kekuatan tersendiri.

“Memang betul Thailand berada pada ranking lebih baik berbanding Malaysia, namun pasukan negara juga mempunyai kelebihan tersendiri,” kata anak jati Perak itu kepada Astro AWANI, hari ini.

Sementara itu, Josh, 29, berpandangan barisan kesebelasan yang diletakkan oleh Cheng Hoe mampu memberikan saingan sengit.

“Saya jangkakan Malaysia akan menang 1-0 pada malam ini, dan gol dijaringkan oleh Safawi Rashid,” ujarnya.

Namun, bagi penyokong Thailand, kelebihan Malaysia beraksi di laman sendiri bukan alasan untuk pasukan Gajah Perang itu mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan tersebut.

“Thailand mempunyai pemain yang handal iaitu Chanatip Songkrasing, dan kita yakin pasukan Thailand boleh menang malam ini,” ujarnya.

Ketika ini skuad kendalian Cheng Hoe berada di tangga keempat Kumpulan G selepas mengutip tiga mata.





Source link