KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia digesa bersama-sama menghargai keamanan dan kesejahteraan yang telah dinikmati selama ini dengan mendidik diri dan keluarga serta jiran tetangga supaya saling memahami, bertoleransi dan melayani satu sama lain.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 hari ini turut menggesa seluruh rakyat untuk menjauhi sikap melampau yang cuba dicetuskan pihak yang hanya melakukannya demi kepentingan politik mereka.

“Menginsafi bahawa negara yang kita cintai sedang terus diasak sentimen perkauman, walaupun sudah 62 tahun bebas daripada ancaman penjajah.

“Malaysia tidak mempunyai pilihan lain, selain kembali ke garis tengah, dan meninggalkan segala prasangka serta fahaman melampau yang mengancam kesinambungan kejayaan rakyat negara ini yang telah melaksanakan sebuah perubahan politik yang begitu besar pada 9 Mei 2018,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Kepimpinan utama PH dalam kenyataan itu turut mengingatkan apa yang telah dikecapi negara selama ini boleh hilang sekelip mata sekiranya rakyat gagal menginsafi diri tentang pengorbanan dan kepayahan yang telah dilalui oleh mereka terdahulu.

“Pada tahun 1963 kita telah membentuk sebuah Persekutuan bersama-sama Sabah dan Sarawak dan kemudiannya Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang majmuk dan kaya dengan pelbagai budaya serta tradisi.

“Meskipun berbilang keturunan, agama, bahasa, budaya dan adat resam, kita tidak pernah lelah dalam usaha membina sebuah bangsa yang tetap bersatu padu,” menurt kenyataan itu.

— BERNAMA





Source link