KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik mengingatkan masyarakat di negara ini untuk terus menghargai Jalur Gemilang sebagai simbol kemerdekaan negara dan mengelak mengibarkan Jalur Gemilang yang telah ‘uzur’.

Beliau yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berkata menjaga Jalur Gemilang diibaratkan seumpama menjaga kedaulatan negara.

“Benda ini sebenarnya sesuatu yang kadangkala orang tak perasan, orang tak nampak tetapi betapa pentingnya kita menjaga kedaulatan negara kita, betapa pentingnya kita menjaga Jalur Gemilang.

“Sedangkan kita kibarkan (Jalur Gemilang) tak lama, masa kemerdekaan itu sahaja, sebagai rakyat Malaysia, kibarkanlah dengan betul, dengan cara yang betul dan kalau boleh janganlah ada yang uzur,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu jemputan program Nine-11 terbitan Bernama News Channel, di sini, hari ini.

Md Farid berkata, Jalur Gemilang hanya kecil harganya untuk dibeli dan ditukar yang uzur kepada yang baharu.

“Banyak jabatan-jabatan menyediakan dan memberikan Jalur Gemilang, di kedai-kedai pun ada dijual, mungkin dalam RM3, RM5 (sahaja)…,” katanya.

Ditanya mengenai generasi muda kini yang memilih untuk mempamerkan semangat merdeka melalui pakaian bertemakan Jalur Gemilang berbanding menggantung atau mengibarkan Jalur Gemilang, Md Farid berkata ia adalah satu perkara yang harus digalakkan asalkan tidak merosakkan kehormatan bendera Malaysia itu.

“Selagi perkara itu tidak menjejaskan, tidak merosakkan Jalur Gemilang, saya rasa itu perkara yang amat membanggakan dan perlu kita galakkan. Masing-masing mempunyai cara sendiri, selagi kita menghormati dan menjaga kedaulatan itu, tak ada masalah,” katanya.

Md Farid yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai, Johor turut mengingatkan masyarakat untuk tidak mencemari Jalur Gemilang dengan menggantungnya secara terbalik atau mengubah warnanya.





Source link