NEW YORK: Seorang warga emas meninggal dunia selepas cuba menyelamatkan rakannya dalam satu insiden rompakan ganas di New York pada malam menjelang Krismas, Selasa lalu.

Polis New York memaklumkan, mangsa, Juan Fresnada, 60 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada petang Jumaat lalu di Hospital Bronx akibat kecederaan parah.

Ketika kejadian, mangsa dan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Byron Caceres, sedang melalui kawasan Third Avenue pada jam 1.30 pagi waktu tempatan.

Mereka kemudian dihampiri beberapa perompak yang cuba merampas barang peribadi sebelum diserang selepas mangsa dipercayai enggan menyerahkannya.

Dalam serangan itu, Fresnada cuba melindungi rakannya itu dengan mengarahkan dia menyelamatkan diri.

Menurut polis, Fresnada dibelasah dengan teruk sebelum kumpulan perompak itu melarikan diri dan mengambil wang tunai berjumlah hanya AS$1 (RM4.4).

Kedua-duanya tinggal di Morrisania, New York.

Polis sudah mendedahkan beberapa rakaman video bagi membantu mengesan suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.





Source link