[ad_1]

KOTA KINABALU: Seorang guru besar di daerah Sipitang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memberi kontrak kepada anak sendiri atas kerja pembekalan makanan.

Margreth [email protected], 58, dituduh melakukan kesalahan memberi kontrak pembekalan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) bernilai RM29,580 kepada anaknya pada tahun 2016.

Pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Abu Bakar Manat.

Terdahulu, mengikut kertas pertuduhan di mahkamah hari ini, Margreth yang ketika itu menjawat Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Solob, Sipitang dipercayai menggunakan kedudukannya bagi membuat keputusan dengan meluluskan pemberian kontrak RMTS.

Pemberian kontrak tersebut adalah bagi tempoh 2016 kepada syarikat Hakim Enterprise milik anaknya Hafizul Hakim Abdul Majid, di mana tertuduh mempunyai kepentingan secara terus.

Mengikut kertas pertuduhan itu lagi, kesalahan terbabit didakwa dilakukan di SK Solob, Sipitang pada 7 Januari 2016.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin manakala tertuduh diwakili oleh Jacquelene Danica L Vun.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh membayar RM4,000 sebagai deposit wang jaminan dan diarahkan hadir di pejabat SPRM Kota Kinabalu sekali dalam tempoh tiga bulan serta diminta menyerahkan pasport antarabangsa.

Abu Bakar dalam pada itu menetapkan 18 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.



[ad_2]
Source link